Rabu, 6 November 2019 | 12:01am
PENGERUSI MARA Corp, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi. - Foto Aziah Azmee

MARA Corp dapat kelulusan untuk MoU

KUALA LUMPUR: MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp), menafikan dakwaan bahawa perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara MARA Corp dengan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia itu, dibuat tanpa kelulusan Majlis MARA.

Pengerusi MARA Corp, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya sudah mendapat persetujuan semua pihak berkepentingan dan mengikut amalan tadbir urus baik, sebelum mengambil keputusan menandatangani MoU berkenaan.

“Perjanjian sudah dibawa ke mesyuarat Majlis MARA pada 23 September lalu dan kelulusan diberikan oleh wakil Majlis MARA yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

“Kelulusan tanpa syarat diberikan bahawa ia harus dipercepatkan dan kekal rahsia kerana mengambil kira sensitiviti MoU dengan syarikat induk Lynas yang turut disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX).

“Pengerusi MARA juga sudah diberikan taklimat secara bersendirian mengenai kandungan MoU berkenaan pada 2 Oktober lalu. Pejabat Menteri Kemajuan Luar Bandar juga sentiasa mengikuti perkembangan sehingga MoU berkenaan ditandatangani (kelmarin),” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Akhramsyah berkata demikian ketika mengulas dakwaan MARA bahawa MoU antara MARA Corp dan Lynas dibuat tanpa kelulusan Majlis MARA.

Berikutan itu, MARA dalam satu kenyataan media berkata, tindakan MARA Corp menandatangani MoU berkenaan tidak selaras dengan ketetapan MARA, iaitu sebarang inisiatif baharu perlu mendapat kelulusannya.

Terdahulu, Akhramsyah berkata tujuan utama MARA Corp menandatangani MoU dengan Lynas untuk menjalinkan kerjasama strategik untuk melaksanakan beberapa projek bernilai tinggi untuk menarik FDI ke Malaysia.

Akhramsyah berkata, usaha berkenaan antara lain untuk menjadi pemangkin bagi memastikan kehadiran peserta industri dan pelanggan sektor hiliran di negara ini.

Katanya, kerjasama berkenaan bakal membabitkan penggunaan nadir bumi yang bertindak sebagai input penting kepada bidang berteknologi tinggi serta industri dengan pertumbuhan tinggi.

“Usaha mewujudkan peluang ekonomi di Malaysia, khususnya untuk orang Melayu dan Bumiputera sentiasa menjadi keutamaan dalam perniagaan MARA Corporation.

“Kami juga mengikuti perkembangan Lynas Malaysia yang berkembang menjadi pemain utama dunia dalam industri nadir bumi yang mempunyai sokongan padu dan dipacu oleh golongan profesional teknikal Melayu.

“Malah, dengan kehadiran komponen utama untuk rantaian bekalan berkenaan, sudah tiba masanya dan peluang kepada kita untuk meningkatkan industri hijau dan berteknologi tinggi di Malaysia,” katanya.

Berita Harian X