Jumaat, 25 Oktober 2019 | 8:50am

Untung bersih Pavilion REIT susut

KUALA LUMPUR: Untung bersih Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) susut kepada RM59.45 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2019 daripada RM62.25 juta tempoh sama 2018, susulan peningkatan kos pengoperasian hartanahnya.

Perbelanjaan pengoperasian hartanah meningkat RM6.1 juta tahun ke tahun disebabkan kos elektrik lebih tinggi, tanggungan kos bagi baik pulih penyaman udara serta perbelanjaan bagi tujuan pemasaran dan promosi juga meningkat, demikian menurut pengurus amanah pelaburan hartanah bertumpuan runcit itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, perolehannya meningkat kepada RM144.35 juta daripada RM141.35 juta dalam tempoh itu, didorong peningkatan perolehan sewaan dan pendapatan elektrik dari Pusat Beli-belah Pavilion Kuala Lumpur bagi pembekalan elektrik kepada Hotel Pavilion dan Pavilion Suites.

Ini sekali gus mengimbangi pendapatan sewaan berkurangan daripada Pusat Beli-belah Da Men di Subang Jaya, Selangor disebabkan kadar sewaan dan penghunian yang rendah, kata Pavillion REIT.

Berhubung tinjauan sektor peruncitan, Pavilion REIT berkata industri runcit Malaysia dijangka berkembang sedikit pada suku keempat 2019 berikutan cuti perayaan serta promosi akhir tahun.

“Sehubungan itu, untuk kekal kompetitif dan memastikan keputusan kewangan Pavilion REIT memuaskan, syarikat akan terus meneroka peningkatan bagi gabungan penyewa, pengurusan kos dan menambah baik pengalaman beli-belah untuk menarik pembeli,” katanya.

Berita Harian X