Selasa, 22 Oktober 2019 | 5:41pm
KETUA Perbankan Konsumer Bank Muamalat Malaysia Bhd (BMMB), Zury Rahimee Zainal Abiden (kanan) bertukar dokumen dengan Pengurus Besar Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP), Azlan Mohd Agel pada majlis menandatangani memorandum perjanjian di Kuala Lumpur. NSTP/Nik Hariff Hassan.

Bank Muamalat sedia RM70 juta bantu pembeli rumah

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menyediakan peruntukan RM70 juta menerusi skim Smart Mortgage-Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pada tahun pertama pelancarannya.

Ketua Perbankan Konsumer Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden, berkata skim berkenaan disasarkan kepada 300 pelanggan yang diharap dapat membantu golongan sasaran merealisasikan impian memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata, menerusi skim yang diperkenalkan dengan kerjasama SJKP itu, golongan sasaran berpeluang memiliki rumah idaman dengan pembiayaan maksima sehingga RM300,000 termasuk takaful menerusi Bank Muamalat.

“Antara golongan sasar yang dimaksudkan adalah mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti nelayan, petani dan juga pemandu teksi.

“Selain itu, mereka yang berpendapatan tetap tetapi rendah seperti pekerja kilang dan juga pengendali mesin juga boleh memohon pembiayaan menerusi skim ini.

“Jika layak, pelanggan akan mendapat pembiayaan 100 peratus daripada harga belian dengan kelayakan gaji bersih miniman RM1,000,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian dengan SJKP di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengurus Besar SJKP, Azlan Mohd Agel.

Ia disaksikan Timbalan Ketua Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamaruddin.

Berita Harian X