Selasa, 22 Oktober 2019 | 5:29pm
PENERIMA anugerah Agropreneur Cemerlang Halil Husairi Bakar bersama Roslina Abdul Rashid selepas Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2019. NSTP/Saifullizan Tamadi.

Pembiayaan Agrobank dijangka cecah RM11 bilion

KUALA LUMPUR: Agrobank menjangkakan pembiayaan keseluruhan lebih RM11 bilion menjelang akhir tahun ini, berbanding RM10.7 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar, berkata jumlah itu boleh dicapai melalui sumbangan semua sektor termasuk pertanian utama dan sasaran pertumbuhan dua angka yang ditetapkan pada tahun ini.

“Kami kini berada dalam landasan kukuh untuk bukan sahaja mencapai jumlah pembiayaan dan pertumbuhan dua angka itu pada tahun ini malah mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu,” katanya pada majlis pengumuman pemenang Anugerah Agropreneur Agrobank 2019 (AAA 2019) di sini, hari ini.

Agrobank mengumumkan pemenang tujuh kategori AAA 2019 yang bertujuan untuk menghargai kejayaan usahawan dalam sektor perniagaan berasaskan pertanian.

AAA 2019 mempertandingkan tujuh kategori iaitu Anugerah Agropreneur Muda, Anugerah Agropreneur Mikro, Anugerah Agropreneur Orang Kurang Upaya (OKU), Anugerah Agropreneur Wanita, Anugerah Pelanggan Setia (Individu), Anugerah Pelanggan Setia ( Syarikat) dan Anugerah Agropreneur Cemerlang.

Pemenang anugerah membawa pulang sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM140,000.

Anugerah utama iaitu Anugerah Agropreneur Cemerlang menyaksikan Halil Husairi Bakar,46, dan Roslina Abdul Rashid, 44, daripada Smart FV Marketing Sdn Bhd menjadi pemenang dengan membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai bernilai RM50,000.

Smart FV Marketing adalah pembekal produk berasaskan ayam terbesar di utara tanah air dan memiliki enam cawangan yang dikenali Pasaraya Ayam Ory.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Berita Harian X