Isnin, 21 Oktober 2019 | 5:44pm
KETUA Pegawai Teknologi Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd, Kalaikovan Antony ditemu bual selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd dengan Geomatika University College di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Cyberjaya. Foto BERNAMA

Unit Serba Dinamik lancar platform kandungan di Asia, Afrika

CYBERJAYA: Anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Holdings Bhd, Serba Dinamik IT Solutions (SDIT), akan melancarkan platform perkongsian kandungan dalam talian berasaskan awan di Indonesia, India, Qatar dan beberapa negara Afrika pada tahun depan.

Ketua Pegawai Teknologi SDIT, Kalaikovan Antony, berkata platform dalam talian dikenali sebagai Kelab Pertukaran Kandungan Global (Kelab GCE), menyediakan pengguna dengan akses tanpa terhad kepada koleksi kandungan yang luas, termasuk buku, jurnal, tesis, fail audio, multimedia, video, lukisan dan imej dalam gabungan pasaran ruang beli-belah.

“Melalui Kelab GCE, sesiapa sahaja dari seluruh dunia dapat menjual dan membeli kandungan akademik. Kami percaya bahawa kandungan bernilai harus diperolehi dengan mudah untuk mereka yang memerlukannya.

“Sehubungan itu, kami menyediakan penyumberan kandungan mudah, ringkas dan lancar. Kami menyasarkan sebanyak 50,000 pengguna GCE di seluruh dunia menjelang akhir tahun 2020,” katanya.

Kalaikovan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SDIT dan Geomatika University College Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini, hari ini.

Beliau berkata di bawah MoU itu, pelajar dan ahli akademik Geomatika boleh mencipta, melakukan pertukaran, mendigitalkan dan menjana wang menerusi penulisan mereka, tesis atau tugasan mereka di Kelab GCE dengan berkongsi kandungan dengan pasaran antarabangsa.

GCE juga menyediakan sudut pekerja bebas serta tempat bagi mereka yang mencari penterjemah dan pembaca pruf untuk tulisan mereka, tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X