Isnin, 21 Oktober 2019 | 1:09pm

Khairul Kamarudin dilantik CEO Bank Muamalat

KUALA LUMPUR: Bank Mualamat Malaysia Bhd melantik Khairul Kamarudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, berkuat kuasa 1 November 2019, bagi menggantikan Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid yang bersara.

Khairul, lulusan Ijazah Undang-undang dari Anglia Ruskin University, United Kingdom (UK), adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bank itu sejak lapan bulan lalu.

“Khairul memiliki 22 tahun pengalaman dalam industri kewangan, dengan 14 tahun bersama Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)," kata Pengerusinya, Tan Sri Munir Majid dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum menyertai BIMB, Khairul berkhidmat bersama Pengurusan Danaharta Nasional Bhd selama lima tahun.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai Audit Kanan bersama PriceWaterhouseCoopers Malaysia.

Munir berkata, Bank Muamalat mengalu-alukan Khairul yang mempunyai kelayakan yang sangat tinggi dalam perbankan Islam dan berharap beliau dapat memimpin institusi itu ke fasa pembangunan seterusnya dalam persekitaran yang semakin mencabar.

“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohd Redza, yang telah berkhidmat dengan cemerlang bersama kami selama 11 tahun, dari peringkat awal sehingga mewujudkan landasan yang kukuh untuk kemajuan masa depan bank ini,” katanya.

Berita Harian X