Jumaat, 18 Oktober 2019 | 6:38pm
- Foto hiasan

Penangguhan projek, Maju Holdings turun taraf kredit

KUALA LUMPUR: Maju Holdings, antara pembida yang mengemukakan tawaran mengambil alih PLUS Malaysia Bhd, berdepan penurunan penarafan kredit susulan kerja pembinaan projek penyambungan Lebuh Raya MEX yang tertangguh daripada jadual asal.

Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), menurunkan penarafan Program Sukuk Murabahah RM1.30 bilion MEX II Sdn Bhd dan Terbitan Bon Junior bernilai RM150 juta daripada AA-IS dan A- kepada AIS dan BBB.

Dalam nota penyelidikannya semalam, MARC berkata, penarafan itu berada pada tinjauan negatif susulan peningkatan risiko dan ketidakpastian berkaitan pembangunan projek penyambungan Lebuh Raya MEX sepanjang 16.8 kilometer (km), terutamanya mengenai tarikh siap dan tol yang berkaitan.

“Kami perhatikan MEX II mengalami masalah ketika perintah berhenti kerja pada pembinaan Jambatan 13 yang dikeluarkan pada April 2019, yang mana ia menjejaskan keseluruhan projek.

“Dokumen reka bentuk perlu diserahkan semula untuk kelulusan daripada agensi kerajaan yang berkaitan. Hasil kelewatan permit, tarikh penyelesaian mungkin akan dilanjutkan empat bulan lagi hingga Julai 2020.

“Bagaimanapun, kemajuan yang perlahan dalam tempoh enam bulan lalu (sebanyak 83 peratus pada akhir Ogos 2019) masih menjadi kebimbangan yang serius,” demikian mengikut nota kajian itu.

Bagaimanapun, sebarang kekangan yang berlaku terhadap Maju Holdings Sdn Bhd, pemilik projek dan kejuruteraan, perolehan dan kontraktor pembinaan MEX II itu juga boleh menghalang projek ini untuk siap tepat pada waktunya.

MARC berkata, penurunan ini mencerminkan kekurangan kemajuan projek, kelewatan yang lebih panjang dan kemerosotan akibat metrik perkhidmatan hutang syarikat yang tidak lagi konsisten dengan penarafan terdahulu.

“Berdasarkan penilaian kami, kelewatan tol hingga November 2020 boleh mengakibatkan MEX II melanggar nisbah liputan perkhidmatan kewangan minimum pada 1.75 kali.

“Kedudukan berterusan penarafan tinjauan negatif mencerminkan keprihatinan MARC bahawa kelewatan pembinaan penyambungan boleh mengakibatkan ketirisan yang lebih besar dalam metrik kewangan MEX II.

“Tinjauan penarafan boleh diturunkan lagi jika penyambungan Lebuh Raya MEX terus mengalami masalah dan kemajuan pembinaannya tidah ditambah baik dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang,” kata MARC.

Bagaimanapun, MARC berkata, bukti bahawa projek berkenaan akan siap dalam tempoh semasa pada Julai 2020 dan pengukur kos serta sama ada tol boleh mula dikutip pada September 2020, mampu menstabilkan prospek.

Sementara itu, jumlah terkumpul dalam Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan sebanyak RM122.3 juta pada akhir Ogos 2019 akan dapat meliputi tiga bayaran keuntungan MEX II yang akan berakhir pada Oktober 2019, April 2020 dan Oktober 2020, yang akan mengurangkan tekanan ke atas kewajipan keuntungan dalam tempoh terdekat.

Pada Julai, MARC melaporkan bahawa penyambungan MEX akan selesai pada Mac 2020, yang mana ia sudah pun lewat daripada jadual asal iaitu Oktober 2019.

Berita Harian X