Jumaat, 18 Oktober 2019 | 5:07pm

Marrybrown sedia tembusi pasaran Eropah

NEW DELHI: Rangkaian restoran Malaysia, Marrybrown Sdn Bhd bersedia untuk menembusi pasaran Eropah menerusi pembukaan cawangannya di Stockholm, Sweden pada Disember ini.

Syarikat makanan segera yang sudah beroperasi selama 38 tahun itu sedang mengusahakan beberapa projek bertujuan mengembangkan operasi luar negara dan pada masa sama terus memperluaskan pasaran domestik.

“Kami akan membuka cawangan di Sweden dan Nepal pada Disember ini selain melakukan persediaan untuk membuka cawangan di Bosnia dan Belanda tidak lama lagi,” kata Pengarah Antarabangsa Marrybrown, Kairul Azman kepada Bernama.

Beliau berkata, operasi mereka di Malaysia kekal kukuh dan membuka kira-kira 20 cawangan baharu setiap tahun.

Marrybrown mengendalikan lebih 500 cawangan di Malaysia dan luar negara selain berminat untuk membangunkan perkongsian baharu di Asia Selatan, Asia Barat dan Eropah.

Syarikat itu juga sedang mencari penerima francais untuk beberapa wilayah di India dengan matlamat mencatatkan pertumbuhan pasaran jangka panjang.

“Kami juga seharusnya menumpukan India. Cabaran yang dihadapi ialah untuk mencari rakan kongsi sesuai dengan matlamat perniagaan yang sama dalam pasaran besar ini,” katanya.

Pembukaan restoran Marrybrown di Stockholm akan disusuli dengan lokasi lain di negara itu awal tahun depan.

Syarikat itu juga akan membuka dua restoran di Sarajevo, ibu negara Bosnia dan Herzegovina, pada 2020.

Perjanjian bagi operasi di negara Balkan berkenaan telah dimeterai pada September lalu ketika kehadiran Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pameran Halal Sarajevo Antarabangsa, yang mana syarikat Malaysia mempunyai operasi yang kukuh.

Pelan peluasan lima tahun di Bosnia akan menyaksikan pelaburan bernilai AS$5 juta oleh penerima francais induk Marrybrown.

Kairul berkata, Marrybrown melihat Sarajevo sebagai hab industri makanan penting untuk dimanfaatkan dalam peluang perniagaan di negara yang luas itu.

-BERNAMA

Berita Harian X