Jumaat, 18 Oktober 2019 | 4:36pm
TIMBALANKetua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara Ketua Pegawai Eksekutif Northport Malaysia Bhd, Datuk Azman Shah Mohd Yusof (kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Dr Pang Teck Wai (kanan) di Pelabuhan Klang. NSTP/Syarafiq Abd Samad.

Northport, POIC bekerjasama perkukuh aliran kargo

PELABUHAN KLANG: Northport (Malaysia) Bhd (Northport) dan POIC Sabah Sdn Bhd (POIC) memeterai perjanjian kerjasama strategik (SCA) bertujuan melonjakkan jaringan dagangan dan meningkatkan aliran kargo menerusi pelabuhan masing-masing.

Perjanjian mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam pengurusan pelabuhan dan membantu dagangan antara Semenanjung Malaysia dengan Malaysia Timur, serta negara serantau dengan tumpuan khusus kepada laluan dagangan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Ketua Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof, berkata menerusi perjanjian itu, kedua-dua syarikat dijangka berkongsi kepakaran, keupayaan, sumber, pengetahuan dan kemahiran dalam aspek pengurusan pelaburan, pengendalian kontena, perkhidmatan kargo konvensional, perkhidmatan marin serta dagangan halal.

“Dengan sejarah operasi Northport selama 118 tahun, kami percaya kepakaran syarikat dalam menguruskan satu daripada pelabuhan pelbagai fungsi yang utama di negara ini akan memberikan manfaat kepada POIC, terutama bagi operasi terminal kontena baharu mereka.

“Dalam masa sama, kami juga akan memperoleh manfaat daripada pengalaman POIC membangunkan taman perindustrian dan pengendalian operasi kargo pukal untuk menyokong keperluan dagangan pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian antara Northport dan POIC di sini, hari ini.

Ia disaksikan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Dagangan dan Industrinya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Hadir sama, Ketua Eksekutif POIC, Datuk Dr Pang Teck Wai.

Northport adalah anak syarikat MMC Ports yang juga pengendali pelabuhan terbesar di negara ini.

POIC pula anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah yang membangunkan taman perindustrian di Lahad Datu.

Baru-baru ini, ia menyiapkan pembinaan terminal kontena di dalam taman industri berkenaan.

Mengulas lanjut, Azman berkata, perjanjian berkenaan menandakan kejayaan yang besar bagi Northport dan POIC berikutan kedua-duanya dijangka memainkan peranan lebih besar dalam memudahkan dagangan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

“Kami juga percaya lokasi yang strategik di sepanjang Selat Melaka yang sibuk dan laluan dagang BIMP-EAGA akan memberikan manfaat lebih besar kepada kami dalam industri pelabuhan dan perkapalan serba mencabar ini,” katanya.

Berita Harian X