Selasa, 15 Oktober 2019 | 7:52am

Axis-REIT beli hartanah RM65 juta di Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR: Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) bercadang membeli hartanah di kawasan zon perdagangan bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) daripada Rancak Beta Sdn Bhd pada harga RM65 juta.

Hartanah itu merangkumi gudang satu tingkat dan bangunan pejabat tiga tingkat terletak di tanah pegangan pajakan berkeluasan 3.30 hektar yang kini dipajak oleh Schenker Logistics (Malaysia) Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif, Axis REIT Managers Bhd, Leong Kit May, berkata lokasi strategik hartanah itu akan memanfaatkan perniagaan berasaskan logistik.

“Urus niaga itu dijangka selesai pada separuh pertama tahun kewangan 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Axis REIT Managers ialah pengurus Axis REIT.

Leong berkata, cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi pembiayaan hutang yang akan meningkatkan nisbah tahap kadar hutang Axis- REIT sebanyak 38.7 peratus daripada jumlah aset yang diaudit setakat 31 Dis, 2018.

Berita Harian X