Rabu, 9 Oktober 2019 | 5:53pm

PETRONAS, KOMIPO meterai perjanjian LNG

KUALA LUMPUR: PETRONAS, menerusi anak syarikatnya Petronas LNG Ltd (PLL) memeterai perjanjian jual beli (SPA) gas asli cecair (LNG) bagi tempoh lima tahun dengan Korea Midland Power Co Ltd (KOMIPO).

Di bawah SPA itu, KOMIPO bersetuju untuk membeli anggaran 0.24 juta tan LNG setahun daripada PLL mengikut asas ‘delivery ex-ship’ (DES) bagi tempoh lima tahun mulai 2020, kata PETRONAS dalam kenyataannya, hari ini.

“Kami berbesar hati dapat membina hubungan dengan KOMIPO, syarikat penjana kuasa terbesar di Korea Selatan, dan meningkatkan pangkalan pelanggan kami di rantau itu,” kata Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG, Ahmad Adly Alias.

“Perjanjian ini menunjukkan peningkatan keupayaan PLL untuk menyediakan penyelesaian tenaga bersih sebagai rakan kongsi untuk kelestarian masa depan,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KOMIPO, Hyung Koo Park, berkata ia amat bermakna kepada KOMIPO dalam banyak cara untuk membina hubungan perniagaan baik dengan PLL.

PLL ialah satu daripada pembekal LNG terkemuka dunia dan diiktiraf oleh industri sebagai syarikat paling boleh dipercayai.

-BERNAMA

Berita Harian X