Selasa, 8 Oktober 2019 | 5:58pm

Tesco jadi peruncit utama terbitkan data sisa makanan

KUALA LUMPUR: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd berpegang teguh dengan pendirian tegas terhadap isu global membabitkan sisa makanan apabila menjadi peruncit pertama yang menerbitkan data sisa makanannya.

Menurut statistik laporan daripada Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), sehingga kini kebanyakan data sisa makanan diperoleh daripada isi rumah yang dianggarkan sebanyak 16,688 tan sehari dan boleh mencecah sebanyak 6.1 juta tan pembaziran makanan setahun.

KRI turut menyatakan, jumlah pembaziran makanan yang dibuang, khususnya isi rumah dalam sehari itu cukup untuk menampung seramai 2.2 juta orang untuk makan tiga kali sehari.

Dalam laporan Pelan Pembangunan Pengurusan Sisa Makanan bagi Sektor Industri (2016-2026), Pengurusan Sisa Pepejal dan Perbadanan Pembersihan Awam menyatakan, sektor isi rumah menghasilkan kira-kira 44.5 peratus sisa makanan, manakala Perindustrian, Perdagangan dan Institusi (ICI) pula sebanyak 31.4 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie, berkata justeru sebagai peruncit, Tesco memahami bahawa permintaan dan penawaran yang sepadan sangat mencabar sehingga boleh mengakibatkan lebihan makanan tidak terjual berlaku.


Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie.

“Oleh itu Tesco menjalankan ketelusan dan pengukuran bagi mengenal pasti situasi berkenaan serta dalam usaha menangani punca sisa lebihan makanan kerana yakin apa yang dapat diukur pastinya akan terurus.

“Malah, usaha Tesco ke arah mengurangkan lebihan sisa makanan juga sebenarnya sudah bermula lama, sebelum dikenali sebagai peruncit pertama yang menghasilkan data sisa makanannya sendiri,” katanya.

Antara usaha dilaksanakan oleh syarikat peruncit itu ialah menjalankan kerjasama dengan Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen pada Oktober 2016 dengan menyumbangkan buah-buahan, sayur-sayuran dan lebihan yang tidak dijual tetapi boleh dimakan setiap hari.

Ritchie berkata, usaha kecil itu akhirnya berkembang dan kini sebanyak 59 stor Tesco di seluruh negara melaksanakannya dan secara keseluruhan sebanyak 4.8 juta makanan disumbangkan.

Bagi tahun kewangan berakhir Februari lalu, Tesco juga sudah menyumbangkan sebanyak 610 tan makanan tidak terjual tetapi boleh dimakan yang bersamaan dengan 1.4 juta makanan.

“Selain itu, pada tahun 2017, Tesco bekerjasama dengan MYSaveFood Network, iaitu di bawah rangkaian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk memulakan Edible Garden Programme dengan 26 sekolah angkat Tesco.

“Ia adalah sebahagian tanggungjawab sosial dan korporat Tesco dalam pendidikan dan alam sekitar di mana pelajar diajar mengenai kepentingan menanam sayuran sendiri dalam usaha mengurangkan lebihan sisa makanan dengan cara menjadikan ia sebagai baja,” katanya.

Sementara itu, Ketua MYSaveFood Network, Dr Ainu Husna MS Suhaimi, turut bersetuju dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh Tesco kerana secara tidak langsung jumlah sisa makanan dapat dikawal menerusi data yang dicatatkan.

“Ia dapat memberi kesedaran dan manfaat kepada semua pihak terbabit. Diharapkan lebih banyak organisasi akan mengikuti langkah Tesco dan seterusnya mencapai objektif pengurangan makanan pada pertengahan 2030,” katanya.

Berita Harian X