Khamis, 3 Oktober 2019 | 9:40pm
Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Sedania ceburi perniagaan e-sukan

KUALA LUMPUR: Sedania Innovator Bhd bercadang menceburi perniagaan sukan elektronik (e-sukan) menerusi syarikat tujuan khas (SPV) Esports Pte Ltd (ESPL).

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, ia telah menandatangani perjanjian langganan saham dengan iCandy Interactive Ltd dan Michael Broda untuk menubuhkan ESPL.

Di bawah perjanjian itu, Sedania dan iCandy masing-masing memiliki 42.55 peratus ESPL, manakala Broda pula memegang 14.9 peratus.

Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata beliau yakin kesemua pihak akan dapat bersama-sama membangunkan industri e-sukan di Malaysia dan rantau ini.

“Kami berhasrat melancarkan Liga Pro e-sukan pada awal 2020. ESPL ketika ini dalam fasa membina platform pertandingan dalam talian dan musim pertama dijangka bermula Februari sehingga Disember tahun depan,” katanya.

Liga Pro e-sukan adalah pertandingan e-sukan global dan rangkaian media, ekosistem bersepadu dan terbuka bagi pertandingan, jenama media, penerbit, pasukan dan pemain yang memberi tumpuan kepada komuniti dan interaktiviti digital.

-BERNAMA

Berita Harian X