Khamis, 3 Oktober 2019 | 7:20pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin

TM GLOBAL, Digi perluas capaian internet seluruh Malaysia

KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi unit global dan borongnya, TM GLOBAL menjalin kerjasama strategik bagi meningkatkan capaian internet di seluruh negara.

Kerjasama bagi meningkatkan industri telekomunikasi itu turut menandakan komitmen berterusan dalam menyokong Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

TM GLOBAL dan Digi akan memanfaatkan kepakaran dan keupayaan masing-masing dalam memberi manfaat kepada rakyat Malaysia melalui tiga perjanjian perniagaan utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin, berkata kerjasama dengan Digi adalah pencapaian terbaharu kumpulan untuk memacu sambungan yang lebih berkualiti dan mampu milik, selari dengan peranan utama TM menghubungkan semua rakyat.

“TM sebagai penggerak Malaysia Digital dengan infrastruktur rangkaian dan penyelesaian digital yang mantap, bersedia untuk melonjakkan negara ke Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan terus berperanan sebagai tonggak industri yang menghubungkan Malaysia ke seluruh dunia.

“Kami memberi perkhidmatan kepada lebih 100 pengendali berlesen di Malaysia termasuk semua syarikat telekomunikasi dengan memanfaatkan liputan backhaul kami yang meluas.

“Usaha sama ini satu lagi langkah ke arah merealisasikan aspirasi digital dan sosio ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan bersama kedua-dua syarikat.

Perjanjian kerjasama itu dimeterai oleh Naib Presiden Eksekutif TM GLOBAL, Amar Huzaimi Md Deris dan Ketua Strategi dan Transformasi Digi, Alex Foo.

Turut hadir ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Al-Ishsal Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty.

Sementara itu, Murty berkata, kerjasama industri memainkan peranan penting dalam memacu agenda negara menyediakan sambungan yang lebih baik ke seluruh negara.

Beliau berkata, perkara itu juga seiring dengan matlamat utama kumpulan dan akan menjalin kerjasama secara lebih aktif bersama rakan strategik seperti TM.

Ia, katanya bagi meningkatkan kualiti dan penawaran perkhidmatan yang akan membawa lebih banyak manfaat sosio-ekonomi.

Salah satu daripada perjanjian perniagaan kedua-dua syarikat adalah penggunaan Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM), sistem kabel dasar laut antara rantau yang dibangunkan secara bersama di bawah Usahasama Awam-Swasta (PPP) antara TM dan MCMC.

Sistem kabel itu menggunakan teknologi 100Gbps pada kapasiti permulaan sebanyak 4 Terabit sesaat (Tbps) dan boleh ditingkatkan kepada minimum 12.8Tbps.

Melalui SKRM, TM GLOBAL akan memenuhi keperluan transmisi kapasiti Digi yang tinggi yang menjadikan Digi sebagai penyedia perkhidmatan utama untuk sistem kabel berkenaan ke Sabah dan Sarawak.

Digi juga akan mengoptimumkan penggunaan lebih 7,000 hotspot TM di seluruh negara dengan menyediakan sambungan WiFi.

TM GLOBAL dan Digi juga menjalin usaha sama bagi sambungan akhir atau ‘last mile’ di Kampung Mat Daling, Pahang, iaitu satu lagi projek di bawah inisiatif Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) membabitkan fiberisasi rangkaian TM, memperluaskan jangkauan internet ke kawasan yang masih belum menerima perkhidmatan.

Berita Harian X