Rabu, 2 Oktober 2019 | 5:29pm
Malaysia Airlines Bhd membentuk satu kerjasama dengan rakan kongsinya dalam perikatan Oneworld, British Airways.
Malaysia Airlines Bhd membentuk satu kerjasama dengan rakan kongsinya dalam perikatan Oneworld, British Airways.

Malaysia Airlines, British Airways kongsi kod penerbangan

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd membentuk satu kerjasama dengan rakan kongsinya dalam perikatan Oneworld, British Airways bagi menawarkan satu hentian sambungan udara yang lancar antara Kuala Lumpur dengan beberapa bandar utama di United Kingdom (UK) .

Semua perkhidmatan perkongsian kod akan dipasarkan sebagai penerbangan Malaysia Airlines, ini akan memudahkan urusan tiket apabila ia disatukan ke dalam satu dokumen yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail dalam satu kenyataan, berkata perkongsian kod itu akan memberikan peluang bagi mengembangkan rangkaian syarikat penerbangan nasional itu di UK dan Eropah tanpa perlu memulakan perkhidmatan pesawatnya sendiri ke pelbagai bandar di rantau itu.

“Ini sebahagian daripada strategi kami untuk membangunkan kerjasama komersial dengan anggota perikatan Oneworld, di samping meningkatkan hubungan udara dengan pasaran-pasaran utama di luar negara bagi merangsang kedatangan pelancong ke Malaysia.

“Malaysia Airlines telah menawarkan sambungan antara Malaysia dengan United Kingdom melalui penerbangan terus sebanyak dua kali sehari dari London ke Kuala Lumpur, dan saya pasti penumpang akan mendapat manfaat daripada peningkatan pilihan destinasi selepas kita mengembangkan perkongsian terbaharu ini dengan British Airways,” katanya.

Malaysia Airlines terbang dua kali sehari ke Heathrow, London dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, pelanggan Malaysia Airlines akan dapat menempah tempat duduk di penerbangan British Airways dari Heathrow untuk ke Aberdeen, Belfast, Edinburgh, Glasgow, Manchester dan Newcastle mulai 2 Oktober 2019 bagi perjalanan dari 9 Oktober 2019.

Penumpang British Airways pula akan dapat menempah penerbangan Malaysia Airlines untuk ke 14 destinasi merangkumi Langkawi, Pulau Pinang, Bintulu (Sarawak) serta sembilan bandar lain di Australia, Kemboja, Indonesia, New Zealand dan Vietnam. - BERNAMA

Berita Harian X