Rabu, 2 Oktober 2019 | 1:12pm
PUBLIC Mutual
PUBLIC Mutual

Public Mutual manfaat prospek pertumbuhan Vietnam, global

KUALA LUMPUR: Public Mutual, anak syarikat milik penuh Public Bank, melancarkan dana Public Vietnam-Global Equity Fund (PVGEF) dengan sasaran untuk mencapai pertumbuhan modal jangka panjang.

Syarikat dalam kenyataan berkata, PVGEF akan 75 sehingga 98 peratus daripada nilai aset bersihnya (NAB) dalam ekuiti dan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam pasaran Vietnam dengan bakinya dilaburkan di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan rantau Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual, Yeoh Kim Hong, berkata PVGEF bertujuan untuk memanfaatkan ekonomi Vietnam yang pesat dan pertumbuhan pendapatan korporat yang disokong oleh pertumbuhan eksport yang mapan, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh dan penggunaan domestik yang berdaya tahan.

“Dana ini juga membolehkan pelabur jangka panjang untuk mengambil bahagian dalam portfolio yang pelbagai merangkumi saham yang disenaraikan di Vietnam dan pasaran global yang lain,” katanya.

Kim Hong, berkata selain kos tenaga buruh yang berdaya saing dan insentif pelaburan, Vietnam juga menarik aliran masuk FDI ketiga tertinggi dalam ASEAN yang didorong oleh persekitaran mesra perniagaan negara terbabit.

“Malah, Vietnam juga adalah penerima manfaat berpotensi perang perdagangan AS-China kerana syarikat-syarikat ingin mempelbagaikan kemudahan pengeluaran dan tempahan mereka selain China mungkin mempertimbangkan Vietnam serta negara ASEAN yang lain.

Harga terbitan permulaan PVGEF ialah sebanyak RM0.2500 seunit sepanjang 21 hari tempoh tawaran permulaan dari 2 hingga 22 Oktober 2019.

Pelaburan permulaan minimum ialah RM1,000 manakala pelaburan tambahan minimum ialah hanya RM100.

Pelabur yang ingin membeli unit semasa tempoh tawaran boleh menikmati caj jualan istimewa.

Di samping itu, pelabur juga berpeluang untuk memenangi sepasang tiket penerbangan ke Da Nang, Vietnam.

Berita Harian X