Isnin, 30 September 2019 | 5:12pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail. - Foto Salhani Ibrahim
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail. - Foto Salhani Ibrahim

Malaysia Airlines dinobat jenama paling dipercayai

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines sekali lagi dinobatkan sebagai jenama paling dipercayai apabila menerima Anugerah Platinum bagi Anugerah Jenama Putra 2019 dalam kategori Pengangkutan, Perjalanan dan Pelancongan.

Anugerah Platinum yang diperkenalkan tahun ini menjadikan Malaysia Airlines menerima Anugerah Jenama Putra kali untuk kali keempat berturut-turut, yang sebelum ini dimenangi pada 2016, 2017 dan 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapten Izham Ismail, berkata anugerah berkenaan adalah kemenangan besar kepada syarikat penerbangan itu yang membuktikan kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap jenama itu.

Ia juga membuktikan kerja keras syarikat dalam melunaskan janji jenama itu bagi hospitaliti rakyat Malaysia.

“Pencapaian ini tidak berlaku dalam tempoh semalaman. Semua pihak di Malaysia Aviation Group (MAG) telah memainkan peranan penting bagi menambah baik jenama ini.

“Kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan, menyediakan dan menambah nilai pengalaman pelanggan dengan memperkenalkan manfaat langsung kepada ekosistem perjalanan keseluruhan, termasuk memperkenalkan aplikasi baharu MHassistant, outlet jualan tiket baharu di NU Sentral Kuala Lumpur selain pelancaran MHholidays, pasaran perjalanan terkini yang membolehkan pengembara menyesuaikan percutian mereka dengan penerbangan dan hotel,” katanya.

Anugerah Jenama Putra adalah acara jenama tahunan terulung di Malaysia yang dilancarkan pada 2010 oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia dengan kerjasama Jenama Paling Bernilai Malaysia.

Ia mengiktiraf pembinaan jenama sebagai pelaburan perniagaan bersepadu yang ditentukan oleh pengguna.

-BERNAMA

Berita Harian X