Selasa, 24 September 2019 | 7:03pm

PDB sasar tingkatkan sumbangan keuntungan segmen bukan bahan api 30%

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) menyasarkan meningkatkan sumbangan segmen bukan bahan api sebanyak 30 peratus kepada keuntungan segmen peruncitannya berbanding sekitar 17 peratus ketika ini.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata selain kerja menaik taraf, orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak penawaran akan dilaksanakan PDB di stesen minyak PETRONAS.

Katanya, ia termasuk menjalin lebih banyak kerjasama bagi mempelbagaikan lagi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, termasuk menambah baik infrastruktur teknologi maklumat (IT).  

Beliau berkata, komitmen itu dapat dilihat dalam peningkatan perbelanjaan modal syarikat sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Perbelanjaan modal kami kebiasaannya ialah antara RM250 juta hingga RM300 juta, tapi sejak dua tahun lalu kami berbelanja lebih, iaitu sekitar RM400 juta hingga RM450 juta bagi menambah baik penawaran termasuk menambah baik infrastruktur IT.

"Peluang (untuk meningkatkan sumbangan segmen bukan bahan api) ada. Kita perlu lakukan lebih lagi dan pokoknya ialah bagaimana menyediakan layanan dan penawaran yang lebih baik," katanya pada majlis pelancaran minyak pelincir PETRONAS Syntium 7000 Hybrid dengan CoolTech di sini, hari ini.

PETRONAS Syntium 7000 Hybrid dengan teknologi CoolTech, adalah minyak pertama syarikat itu untuk enjin hibrid.

Ia menandakan kemasukan Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM) ke dalam pasaran kenderaan hibrid yang berkembang pesat.

PLMM adalah anak syarikat PDB.

Minyak pelincir itu diperkenalkan kepada pihak media bersama-sama kehadiran pemandu Formula One Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport, Lewis Hamilton, yang singgah di Kuala Lumpur selepas beraksi di Grand Prix Singapura.

Turut hadir ialah Pegawai Teknologi Antarabangsa PETRONAS Lubricant International (PLI), Eric Holthusen.

"PETRONAS Syntium memainkan peranan penting dalam penyejukan enjin dan menyokong kami dalam mencapai keputusan baik di litar. Kerja berpasukan antara organisasi teknikal kami adalah cemerlang, dan ia memberi jaminan bahawa kami mempunyai cecair terbaik dan paling boleh dipercayai untuk enjin.

"Ia menjadikannya lebih mudah untuk terus memberi tumpuan kepada matlamat utama kami dan mencapai keputusan terbaik bagi pasukan di litar perlumbaan," kata Hamilton berhubung pengalamannya menggunakan minyak pelincir yang dibangunkan PETRONAS itu sejak menyertai pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport.

Berita Harian X