Khamis, 19 September 2019 | 3:33pm
KETUA Pegawai Usaha Niaga TNB merangkap Pengarah GSPARX Sdn Bhd, Datuk Nor Azman Mufti (kiri) memeterai perjanjian Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) bersama Pengarah Eksekutif Mydin Holdings, Datuk Murad Ali Mydin (tengah) dan Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan (kanan).

Mydin peruncit pertama pasang solar di pasar raya hiper

SUBANG JAYA: Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui GSPARX Sdn Bhd memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) bersama Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) untuk memasang panel solar photovoltaic (PV) di bumbung Mydin Mall Manjoi, Ipoh.

Panel solar berkapasiti 324 kilowatt-peak (kWp) itu dijangka membolehkan penjimatan sehingga RM3.24 juta di Mydin Mall Manjoi untuk tempoh 25 tahun kontrak perjanjian.

Mydin Holdings menjangkakan perjanjian ini akan membolehkan kedua-dua pihak meneroka peluang kerjasama baharu untuk cawangan-cawangan pasar raya hiper.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, berkata langkah kecil itu diharap dapat membuka peluang kerjasama bagi tujuh lagi cawangan pasar raya hiper kumpulan.

Menurutnya, fokus Mydin bukan hanya keuntungan, malah aspek kemanusiaan dan alam sekitar turut ditekankan.

“Saya menyambut baik kerjasama Mydin dan TNB dalam usaha memacu kelestarian tenaga demi organisasi, masyarakat serta negara. Ini adalah komitmen kami demi generasi kita seterusnya,” katanya pada majlis memeterai SARE antara kedua-dua syarikat di sini, baru-baru ini.

SARE dimeterai adalah antara GSPARX Sdn Bhd yang juga 100 peratus anak syarikat TNB Renewables Sdn Bhd, syarikat milik penuh TNB dengan Mydin.

Ia menjadikan Mydin sebagai rantaian peruncit pertama di Malaysia yang menyahut inisiatif kerajaan dalam meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Perjanjian dimeterai oleh Ketua Pegawai Usaha Niaga TNB merangkap Pengarah GSPARX, Datuk Nor Azman Mufti; Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan; dan Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata, kerjasama akan membawa kepada bekalan tenaga lestari untuk Mydin di samping kedua-dua pihak menyahut sasaran kerajaan untuk mencapai 20 peratus penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui pada 2025.

“Kami melihat kerjasama ini sebagai situasi menang-menang. GSPARX sebagai pelabur solar PV yang berdaftar, TNB Retail sebagai penawar perkhidmatan kepada bangunan kerajaan negeri dan persekutuan, pengguna komersial dan juga industri, dan Mydin Holdings pula sebagai pelanggan.

“Mydin dapat menggunakan terus elektrik yang dijana oleh solar dengan tarif yang lebih rendah selain dapat mengurangkan penghasilan karbon,” katanya.

Perjanjian itu juga meliputi skim Meter Tenaga Bersih (NEM) yang akan membolehkan Mydin memindahkan lebihan tenaga yang dijana oleh panel solar kepada TNB pada kadar sama seperti pelanggan membeli dari TNB.

Berita Harian X