Rabu, 18 September 2019 | 8:23am

Glomac lancar hartanah bernilai RM903 juta

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd mensasar mempercepatkan kadar pelancaran terbaharu syarikat dalam separuh kedua tahun kewangan semasa yang akan berakhir pada 30 April 2020.

Ia merangkumi pelbagai jenis produk dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM903.0 juta.

"Pelancaran akan datang akan kekal dalam segmen pasaran pertengahan serta mampu milik, sementara projek kediaman bertanah di bandar seperti Saujana Perdana dan Saujana KLIA terus mengekalkan jualan yang kukuh," kata pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan sempena dengan pengumuman keputusan suku pertama tahun kewangan 2020.

Glomac mencatat keuntungan bersih RM3.46 juta bagi suku kewangan berakhir 31 Julai 2019, naik daripada RM1.01 juta suku sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada perolehan berjumlah RM 51.87 juta.

Sehingga 31 Julai, kunci kira-kira kekal syarikat hartanah itu kekal mantap dengan kedudukan tunai berjumlah RM 159.9 juta.

Tahap hutang atau gearan bersih masih terkawal iaitu pada 0.28 berbanding dana pemegang saham sebanyak RM1.1 bilion, manakala aset bersih sesaham berjumlah RM1.41, kata syarikat itu.

"Dalam tempoh terdekat, sektor hartanah dijangka kekal mencabar berikutan pertumbuhan gaji yang perlahan serta dasar pinjaman yang lebih ketat terus memberi kesan kepada jualan.

"Bagaimanapun, kumpulan ini terus optimistik bahawa portfolio yang kukuh bagi pembangunan berpotensi dengan GDV sebanyak RM8 bilion akan mampu menempatkan kumpulan ini dalam kedudukan yang baik untuk terus menawarkan produk kepada pasaran massa jika keadaan pada masa akan datang bertambah baik," katanya.

Berita Harian X