Jumaat, 13 September 2019 | 5:27pm

Khazanah ditawar RM2.08 bilion jual saham konsesi tol Jakarta

KUALA LUMPUR/JAKARTA: Dana pelaburan negara, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) menerima tawaran sekitar AS$500 juta (RM2.081 bilion) untuk menjual pemilikan kepentingannya dalam pengendali jalan tol di Indonesia, demikian menurut sumber yang mempunyai maklumat berkaitan.

Syarikat Astra Infra dari Indonesia bergabung dengan Canada Pension Plan Investment Board (CPPIB) untuk membida PT Lintas Marga Sedaya (Lintas Marga) yang juga pemegang konsesi jalan tol sepanjang 117 kilometer yang menghubungkan Jakarta ke Cirebon di bahagian barat kepulauan Jawa, kata sumber kepada Bloomberg.

Sumber yang enggan dikenali itu berkata, ahli Lembaga Pengarah Khazanah akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan tawaran berkenaan dan dana pelaburan itu mungkin menerima atau menolaknya.

Khazanah menguasai 55 peratus Lintas Marga menerusi unitnya, UEM Group Bhd manakala Astra Infra memiliki baki 45 peratus kepentingan dalam pengendali jalan itu.

Astra Infra adalah milik penuh syarikat kereta, PT Astra International. Pembida mencari peluang untuk memanfaatkan peningkatan trafik yang membuatkan negara berkenaan berjanji untuk memperuntukkan lebih daripada AS$400 bilion (RM1.665 trilion) dalam perbelanjaan prasarana.

Semua wakil Khazanah, Lintas Marga, Astra Infra, UEM Group dan CPPIB menolak untuk memberikan sebarang komen. Pada 2006, UEM Group diberikan kontrak projek lebuhraya Cikopo-Palimanan dan juga dikenali sebagai jalan tol Cipali tetapi pembinaan tidak bermula sehinggalah tahun 2013 berikutan syarikat berkenaan perlu melengkapkan pembelian tanah dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Projek berkenaan siap sepenuhnya pada 2015 dan menjadi konsesi lebuh raya pertama dari Malaysia di Indonesia. -Bloomberg

Berita Harian X