Rabu, 11 September 2019 | 11:30am
(EMPAT dari kiri) Diana Rianti Callaghen Mohamed Suhaimi, Ketua Risiko Enterpris PLUS; (tengah) Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS; (tiga dari kanan) Satpal Singh Dadar Singh, Ketua Risiko dan Pematuhan PLUS.

PLUS dinobat Pasukan Pengurusan Risiko Terbaik 2019

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dianugerahkan sebagai Pasukan Pengurusan Risiko Terbaik pada Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengurusan Risiko dan Insurans Malaysia (MARIM) yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata pengiktirafan berkenaan adalah sesuatu sangat membanggakan dan satu penghormatan kepada syarikat.

“Pengiktirafan peringkat nasional ini dicapai selepas kemenangan kami pada Anugerah Risiko Strategik Asia Pasifik di Singapura.

“Memenangi anugerah Pasukan Pengurusan Risiko Terbaik untuk tahun ini membuktikan pasukan PLUS ‘Enterprise Risk’ telah berusaha untuk melaksanakan strategi pengurusan risiko secara berkesan dan memberi nilai tambah kepada organisasi kami.

“Paling penting, kejayaan kami ini dapat diukur dan dinilai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Anugerah Pasukan Pengurusan Risiko MARIM dinilai menerusi dua peringkat proses penilaian, iaitu penyerahan dokumen komprehensif yang disediakan oleh pasukan dan pembentangan kepada panel hakim.

Barisan hakim terdiri daripada Ketua Pengurusan Kesinambungan Perniagaan Airasia Bhd (Ketua Hakim), Bernard Lee Tek Ming; Pengurus Besar MRCB, Faizatul Farhah Binti Ghazali; Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Taipor Suhadah dan Ketua Pengurusan Kesinambungan Perniagaan Maxis, Raja Amir Abdul Hakem Raja Hedar.

Pemenang anugerah itu bagi tahun sebelumnya adalah Malakoff Corporation Bhd pada 2018, Telekom Malaysia Bhd pada 2017 dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd pada 2016.

277 dibaca
Berita Harian X