Selasa, 10 September 2019 | 8:25pm

Metronic dapat kontrak audio visual bangunan Merdeka PNB 118

KUALA LUMPUR: Firma kejuruteraan Metronic Global Bhd memperoleh kontrak untuk projek sistem audio visual dan sistem teknologi informasi (AV-ICT) bernilai RM18.7 juta dalam projek nasional Merdeka PNB 118, bangunan setinggi 666 meter yang kini dalam pembinaan.

Kontrak itu diperolehi menerus anak syarikat milik penuhnya, Metronic Engineering Sdn Bhd (MESB).

“Projek Merdeka PNB 118 akan menambah imej reputasi Metronic dan membantu kami meningkat dari segi jenama, komitmen dan pengembangan kerana kami yakin dapat menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti untuk memenuhi piawaian peringkat antarabangsa yang ketat,” kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brian Hoo Wai Keong.

Beliau berkata, Metronic juga sedang berusaha untuk memuktamadkan tender bagi beberapa projek kejuruteraan berpotensi besar bernilai sehingga RM300 juta di Malaysia dan merentasi rantau ini.

“Metronic berada pada landasan dalam mencapai matlamatnya untuk menguasai pasaran AS$1 bilion projek bandar pintar di seluruh Malaysia, Eropah, Amerika Syarikat, rantau Timur Tengah dan Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Panduan Perbelanjaan Bandar Pintar Separuh Tahun International Data Corp (IDC) Worldwide, penguasaan pasaran AS$1 bilion adalah kurang daripada satu peratus daripada pelaburan global dalam teknologi-teknologi bandar pintar, yang dijangkakan meningkat kepada US$135 bilion menjelang 2021.

Merdeka PNB 118, dahulunya dikenali sebagai KL 118, akan menjadi bangunan keempat tertinggi di dunia apabila siap dengan ketinggian seni bina sekurang-kurangnya 644 meter. Nilai projek ialah RM5 bilion.

Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), melalui anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, sudah pun memulakan projek itu pada 2014. Nama alternatifnya ialah Warisan Merdeka, atau Warisan Kemerdekaan.

Merdeka PNB 118 dibina di sekitar tapak Stadium Merdeka dan ia terletak di barisan yang sama dengan dua mercu tanda iaitu Menara KL dan Menara PETRONAS.

Metronic yakin dapat meneruskan kembali projek itu dengan kontraktor utamanya, Samsung C&T untuk menara itu, setelah bekerjasama dalam projek seperti Lot 91 Convention Centre Podium, Kuala Lumpur City Centre. – Bernama

199 dibaca
Berita Harian X