Isnin, 9 September 2019 | 4:59pm
KETUA Pegawai Eksekutif Courts Malaysia, Dominic Wong. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Courts Malaysia perkenal platform e-dagang hujung tahun

KUALA LUMPUR: Courts Malaysia, peruncit terkemuka barangan elektrik, teknologi maklumat (IT) dan perabot, bakal memperkenalkan platform e-dagang pada penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Courts Malaysia, Dominic Wong, berkata platform yang akan dikenali sebagai e-Courts itu adalah sebagai sebahagian daripada perjalanan digital syarikat itu.

Beliau berkata, selepas ia dilancarkan, orang ramai boleh menikmati pengalaman beli-belah yang lebih berbeza serta menarik yang mana semua produk turut ditawarkan di platform terbabit.

“Kami kini sedang berusaha untuk memperkukuhkan perjalanan transformasi serta digital Courts Malaysia yang mana ia akan mengukuhkan kehadiran jenama yang sudah bertapak lebih 32 tahun.

“Sebelum e-Courts diperkenalkan pada hujung tahun ini, kami ketika ini menembusi segmen e-dagang melalui penyertaan di platform sedia ada pasaran seperti Lazada dan Shopee.

“Apabila platform milik kami sendiri mula diaktifkan, kami yakin ia akan melengkapkan ekosistem serta perjalanan digital untuk Courts Malaysia,” katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wong berkata, berdasarkan data yang diterima oleh pihaknya, kira-kira 80 peratus pembeli daripada platform e-dagang boleh dikatakan adalah pelanggan baharu kepada Courts.

Menurutnya, daripada jumlah pelanggan baharu itu, kebanyakkannya adalah daripada golongan milenial yang dilihat lebih selesa untuk membeli melalui platform itu.

“Tempahan melalui e-dagang kebiasaannya mereka akan membeli barang yang lebih kecil dan mudah untuk digunakan apabila menerimanya.

“Bagaimanapun, kewujudan gedung fizikal masih dianggap menjadi keutamaan khususnya untuk membeli barang bersaiz besar yang memerlukan penelitian dan khidmat nasihat seperti mesin basuh, peti sejuk dan lain-lain,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan lanjutnya, sehingga Mac tahun depan, Wong berkata, Courts Malaysia akan membuka tiga cawangan baharu yang mana ketika ini, jenama itu mempunyai 55 cawangan di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya melihat tiada keperluan untuk membuka lebih banyak cawangan baharu, sebaliknya akan menaik taraf gedung sedia ada seperti yang dirancang dalam pelan transformasinya.

“Buat masa ini hanya 30 peratus daripada 55 cawangan ini akan dinaik taraf terlebih dahulu dan secara beperingkat, semua gedung seluruh negara akan menerima perubahan baharu seiring dengan keadaan semasa,” katanya.

132 dibaca
Berita Harian X