Isnin, 9 September 2019 | 4:51pm
KETUA Pegawai Eksekutif Brilliant Skin, Glenda DC Victorio. - Foto Rosela Ismail

Brilliant Skin sasar Malaysia sebagai pasaran utama

KUALA LUMPUR: Brilliant Skin Essentials (Brilliant Skin), syarikat produk kecantikan dari Filipina menyasarkan kadar penembusan pasaran lebih tinggi dalam industri halal global menerusi rangkaian produknya itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Brilliant Skin, Glenda DC Victorio, berkata pihaknya kini giat mempromosikan rangkaian produknya di beberapa negara termasuk Malaysia.

Glenda berkata, pihaknya yakin boleh memanfaatkan rangkaian produk halal menerusi pasaran halal global yang dijangka berkembang dalam beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, berdasarkan lebih 1.8 bilion penduduk Islam di seluruh dunia, Malaysia memiliki peluang luas untuk penembusan oleh pihaknya memandangkan negara telah diiktiraf sebagai peneraju Petunjuk Ekonomi Islam Global oleh Pusat Pembangunan Ekonomi Islam Dubai dalam Laporan Ekonomi Islam Global yang dikeluarkan pada Oktober 2018.

“Malaysia menjadi pasaran utama kami di luar Filipina. Malah pensijilan halal yang diperoleh oleh pihak kami bukan saja kepada semua produk, tetapi untuk kemudahan pengilangan kami.

“Malah pasaran produk kami di Malaysia juga boleh menjadi platform untuk mula meneroka ke pasaran serantau yang lain.

“Dengan pensijilan halal yang diperoleh dan kemampuan produk kami yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan, kami menyasarkan dapat mencapai jualan sebanyak lebih tiga juta set tahun hadapan,” katanya.

Glenda berkata, ketika ini jualan produknya di Filipina melebihi 3.5 juta set sebulan dan dengan pertambahan jualan di Malaysia, pihaknya optimis prestasi kewangan syarikat akan merekodkan pertumbuhan dua angka.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan pelaburan sekitar RM1 juta bagi menjalankan kerjasama dengan selebriti tempatan, Mawar Rashid untuk penghasilan produk baru.

654 dibaca
Berita Harian X