Isnin, 9 September 2019 | 4:46pm
KETUA Negara Sun Life Malaysia, Raymond Lew. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Sun Life optimis segmen insurans takaful

KUALA LUMPUR: Sun Life Malaysia Assurance Bhd optimis segmen insurans takaful akan menjadi pemangkin syarikat pada masa depan, walaupun masih ia segmen produk yang baharu diperkenalkan.

Ketua Negara Sun Life Malaysia, Raymond Lew, berkata momentum syarikat meningkat menerusi pengenalan Sun Infinity-I, yang menyaksikan penyertaan lebih 7,000 pelanggan setakat ini.

“Pengambilan produk berkenaan sangat menggalakkan dan jumlahnya meningkat dua kali ganda setiap bulan. Kami mengendalikan kes bersaiz besar dengan RM50,000 setiap kes bagi segmen mewah,” katanya dalam satu temubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sun Life mula memperkenalkan Takaful Suria, iaitu produk haji takaful universal pertamanya pada 2015.

Susulan kejayaan itu, syarikat berkenaan kemudiannya melancarkan Takaful Mulia, tahun lalu dengan kerjasama dengan rakan kongsinya, CIMB Islamic Bank.

Lew berkata, pengenalan segmen takaful adalah selari dengan faktor demografi Malaysia yang memiliki lebih daripada 60 peratus Muslim.

“Ia menawarkan peluang besar dan kami berperanan untuk menyediakan penyelesaian, seperti segmen sasaran.

“Produk berkenaan menyasarkan segmen mewah dan sebagai permulaan kami berusaha menyediakan pilihan tambahan kepada pelanggan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat juga telah melabur sejumlah besar sumber dan tenaga kerja bagi meningkatkan latihan serta kemahiran.

“Di Sun Life, ada tiga kriteria utama yang dijalankan iaitu pelaksanaan, pembabitan yang pro-aktif serta menyediakan penyelesaian bagi perniagaan dan masalah

yang dihadapi.

“Justeru, kami menggunakan analisis data dan digital bagi mencapai matlamat itu,” katanya.

Selain itu katanya, syarikat juga mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan momentum lebih daripada 30 peratus.

“Kami berharap pertumbuhan baik itu dapat terus dikekalkan menerusi pendigitalan dan pengenalan beberapa produk takaful, menerusi pendekatan lebih holistik,” katanya.

Berita Harian X