Khamis, 5 September 2019 | 7:23pm
PENGASAS Bersama dan Pengarah Kreatif Pestle & Mortar Clothing, Hugh Koh (kiri) bersama Ketua Pegawai Pemasaran KFC Malaysia, Angelina Villanueva melancarkan koleksi 111 Finger Lickin Good Goods di Sunway Pyramid. - Foto Rohanis Shukri
PENGASAS Bersama dan Pengarah Kreatif Pestle & Mortar Clothing, Hugh Koh (kiri) bersama Ketua Pegawai Pemasaran KFC Malaysia, Angelina Villanueva melancarkan koleksi 111 Finger Lickin Good Goods di Sunway Pyramid. - Foto Rohanis Shukri

KFC lancar koleksi 'streetwear' resepi rahsia Colonel Sanders

PETALING JAYA: KFC Malaysia menyasarkan jualan sebanyak RM200,000 menerusi kerjasama eksklusifnya dengan jenama ‘streetwear’ tempatan, Pestle & Mortar Clothing (PMC).

Kerjasama berkenaan menyaksikan KFC Malaysia melancarkan koleksi 11 rekaan ‘streetwear’ yang diolah daripada konsep 11 herba dan rempah rahsia Colonel Sanders.

Ketua Pemasaran KFC Malaysia, Angelina Villanueva, berkata keseluruhan hasil jualan daripada kerjasama berkenaan akan disalurkan kepada Add Hope Malaysia yang juga inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat.

Katanya, sempena sambutan bulan kemerdekaan, KFC Malaysia ingin membawa kelainan bagi meraikan negara, rakyat serta asal-usul jenama makanan segera itu di negara ini.

“Bersama dengan kebangkitan gaya ‘streetwear’, timbullah idea untuk bekerjasama dengan PMC.

“Justeru, terhasillah koleksi yang secara kreatifnya menggabungkan paparan warisan jenama kami dengan elemen keistimewaan hubungan yang terjalin antara KFC dan rakyat negara ini sejak 1973.

“Sebanyak 2,000 unit barangan akan dijual sepanjang kerjasama ini berlangsung dan koleksi ini merangkumi kemeja T bercorak grafik, kemeja ‘bowling’ cetakan penuh, jaket bomber bersama grafik serta aksesori seperti topi ‘bucket’ dan beg tote,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kerjasama berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengasas Bersama PMC, Hugh Koh.

Semua koleksi berkenaan mula dijual di laman sesawang PMC dan di butik Major Drop, Sunway Pyramid.

Sementara itu, Koh berkata pihaknya menyasar pembeli koleksi berkenaan terdiri daripada mereka yang berumur antara 20 tahun hingga 30 tahun.

“Koleksi ini lebih daripada sekadar rekaan kerana setiap pakaian menggambarkan makna KFC dalam setiap jiwa rakyat Malaysia.

“Daripada kemeja T ‘Jalan Larut KFC’ kepada jolokan nama ‘Atuk’ yang merujuk kepada pengasasnya sehinggalah ke periuk tekanan, setiap satu daripadanya menyimpan memori yang dikongsi oleh kita semua,” katanya.

Berita Harian X