Rabu, 4 September 2019 | 3:46pm
UEM Edgenta Bhd
UEM Edgenta Bhd

Segmen penjagaan kesihatan pacu UEM Edgenta

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd (UEM Edgenta), peneraju pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur serantau menyasarkan pertumbuhan kukuh bagi tahun kewangan 2019 dipacu oleh segmen sokongan penjagaan kesihatan.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Merican, berkata perniagaan penjagaan kesihatan kumpulan terus berkembang dengan baik dan kumpulan komited untuk meneroka peluang baharu dalam sektor itu bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Prestasi separuh pertama yang kukuh adalah petanda baik untuk kami meneruskan momentum ini untuk baki (tahun kewangan) yang ada.

“Kami harap mampu untuk terus kekal berdaya saing dan fokus untuk menjadi peneraju pasaran dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi syarikat bagi separuh pertama 2019 di sini, hari ini.

UEM Edgenta mencatatkan peningkatan pendapatan 10.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.11 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2019 berakhir 30 Jun 2019, berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2018.

Keuntungan sebelum cukai dan keuntungan bersih untuk separuh pertama tahun kewangan 2019 masing-masing meningkat 2.8 peratus dan 4.6 peratus kepada RM92.8 juta dan RM68.1 juta.

Mengulas mengenai kehadirannya di Singapura, Azmir berkata, penstrukturan semula kemudahan penjagaan kesihatan yang sedang dilaksanakan oelh Kementerian Kesihatan Singapura juga akan membuka peluang bagi segmen penjagaan kesihatan kumpulan untuk menambah kontrak baharu.

Katanya, ketika ini kumpulan sudah pun memperoleh kontrak bernilai RM540.06 juta setakat Julai 2019.

“Proses tender daripada penstrukturan semula hospital masih belum selesai sepenuhnya dan akan ada lebih banyak tender... dan pastinya kami akan mengambil bahagian.

“Kami yakin dapat peroleh lebih banyak kontrak dan secara keseluruhan kami agak agresif mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatan kami,” katanya.

UEM Edgenta menyediakan perkhidmatan kepada lebih 300 hospital di Malaysia, Singapura, Taiwan dan India merangkumi kitaran hayat aset termasuk perundingan, perolehan dan perancangan pembinaan serta pemulihan dan naik taraf.

Berita Harian X