Rabu, 4 September 2019 | 3:31pm
ZURICH Takaful Malaysia Bhd.
ZURICH Takaful Malaysia Bhd.

Zurich Takaful buka kaunter di cawangan Mydin

KUALA LUMPUR: Zurich Takaful Malaysia Bhd (Zurich Takaful) akan membuka 30 kaunter di sebahagian 74 cawangan Mydin di seluruh negara menjelang tahun depan bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai keperluan langganan produk takaful.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mukesh Dhawan, berkata langkah yang menjadi sebahagian daripada kerjasamanya dengan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu (Mydin) adalah untuk memanfaatkan peluang pasaran takaful yang masih luas di negara ini.

“Hanya kira-kira 15 peratus daripada rakyat Malaysia memiliki pelan takaful. Jadi dengan kerjasama dengan Mydin menerusi pembukaan 30 kaunter, ia menawarkan potensi untuk berkembang dan meraih peluang pasaran yang masih besar di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin.

Mengulas lanjut, Mukesh berkata, kerjasama untuk tempoh 10 tahun bermula Mei lalu, yang menyaksikan Zurich Takaful membuka tujuh kaunter termasuk di Mydin Subang Jaya, Mydin Senawang, Mydin MITC Melaka dan Mydin Mydin Aman Sentral.

“Kami mahu menjadikan takaful sebagai ‘senarai pembelian’ setiap isi rumah setiap kali mengunjungi Mydin. Peningkatan kesedaran mengenai keperluan memiliki takaful perlu ditingkatkan bagi memastikan rakyat Malaysia yang belum memilikinya berbuat demikian.

“Bagi pelanggan Mydin, kami akan menawarkan produk sedia ada mengikut keperluan mereka, selain merancang untuk menawarkan produk baharu pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ameer, berkata Mydin dan Zurich Takaful akan melaksanakan kaedah pemasaran bersama untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemilikan produk takaful.

Katanya, Mydin juga bercadang mempromosikan produk Zurich Takaful kepada kira-kira 400,000 pemegang kad kesetiaan Mydin dikenali sebagai Kad Meriah di seluruh negara.

“Sasaran kami adalah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah bagi memastikan rakyat dilindungi takaful,” katanya.

Berita Harian X