Khamis, 29 Ogos 2019 | 4:30pm
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi AlBakri Wan Amin Jaffri. NSTP/Zunnur Al Shafiq.

Perlantikan Voon Tin Yow hanya spekulasi: Sime Darby Property

KUALA LUMPUR: Berita mengenai pelantikan Datuk Voon Tin Yow sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property Bhd adalah spekulasi semata-mata, dan pihak pengurusan syarikat hartanah berkenaan tidak mengetahui mengenainya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi AlBakri Wan Amin Jaffri, berkata pihaknya tidak mengetahui sama ada Tin Yow akan dilantik untuk menerajui barisan pengurusan tertinggi pemaju hartanah itu.

Namun, tegasnya, pengumuman rasmi hanya akan dibuat Sime Darby Property apabila tiba masanya.

“Buat masa ini ia hanya khabar angin. Di negara ini, khabar angin pada dasarnya sangat berleluasa, kadang-kandang ia betul, kadang-kadang sebaliknya,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan Sime Darby Property bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai desas-desus pelantikan Tin Yow sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property dengan ditawarkan gaji RM265,000, sekali gus membelakangi Ketua Pegawai Eksekutif Bumiputera yang layak.

Mengenai adakah benar gaji Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property dalam RM60,000 sebulan dan gaji yang dicadangkan untuk Ketua Pegawai Eksekutif baharu lebih RM260,000, Wan Hashimi berkata, ia kurang tepat dan beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Tin Yow ketika ini adalah Pengarah Eksekutif Eco World Development Group Bhd dan mempunyai pengalaman berpuluh tahun dalam industri pembinaan dan pembangunan hartanah.

Setakat 31 Julai 2019, pemegang saham utama Sime Darby Property ialah Permodalan Nasional Bhd dengan memiliki 56.6 peratus kepentingan; diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dengan memegang 11.1 peratus kepentingan dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak 4.8 peratus.

Sime Darby Property, pemaju hartanah terbesar di Malaysia dari segi jumlah simpanan tanah, kini membangunkan 23 perbandaran/ pembangunan aktif dengan pencapaian global merangkumi aset dan operasi merentasi rantau Asia Pasifik dan United Kingdom.

Berita Harian X