Khamis, 29 Ogos 2019 | 2:25pm

Keuntungan tahunan Lynas meningkat 50 peratus

MELBOURNE: Pengeluar nadir bumi Australia, Lynas Corp mencatatkan kenaikan 50 peratus keuntungan tahunan dengan pengeluarannya mencatatkan rekod tertinggi.

Ia turut mengumumkan masih belum membuat keputusan mengenai tapak loji pemprosesan nadir bumi berat yang dirancang sebelum ini.

Lynas, pengeluar nadir bumi terbesar di luar China, mencatatkan keuntungan bersih A$80.0 juta (RM27.1 juta) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019, meningkat daripada A$53.1 juta (RM150.7 juta) setahun lalu.

Keputusan kewangan dikeluarkan di tengah-tengah tumpuan yang semakin meningkat terhadap rantaian bekalan sektor itu berikutan kebimbangan bahawa China akan menggunakan kedudukannya yang dominan dalam industri nadir bumi sebagai perkakas perang perdagangannya dengan Amerika Syarikat (AS).

Lynas, yang memiliki sebuah kilang pemprosesan di Malaysia, mempunyai rancangan untuk membina loji pemprosesan nadir bumi kedua di Texas, namun berkata keputusan akhir mengenai lokasinya masih belum dibuat.

Kerajaan AS meninjau untuk mengurangkan kebergantungan ke atas China, yang merangkumi lebih daripada 80 peratus kapasiti pemprosesan nadir bumi, iaitu kumpulan 17 mineral yang boleh didapati dalam peralatan ketenteraan dan barangan elektronik pengguna berteknologi tinggi.

Ketua Eksekutifnya, Amanda Lacaze, berkata syarikat itu terbuka menerima pembiayaan kerajaan AS, namun keputusan akhir adalah berdasarkan kesesuaian strategik terbaik.

“Apa yang betul secara strateginya untuk perniagaan kami adalah membina keupayaan pemisahan nadir bumi berat. Adakah kami akan melakukannya di AS atau di tempat lain menjadi soalan berbeza,” katanya pada taklimat keputusan kewangan.

Jabatan Pertahanan AS minggu ini berkata, ia sedang berunding dengan Australia untuk menjadi lokasi loji pemprosesan.

Loji pemprosesan nadir bumi berat akan membolehkan Lynas mengeluarkan elemen lebih meluas, sebagai tambahan kepada Neodymium dan Praseodymium (NdPr), yang digunakan dalam besi berani.

-Reuters

Berita Harian X