Rabu, 28 Ogos 2019 | 4:58pm
Pengarah Urusan, Eastern & Oriental Bhd (E&O), Kok Tuck Cheong (tengah) bersama Pengarah Kewangan E&O, Kok Meng Chow (kiri) dan Pengurus Besar Kanan, Pelaburan Korporat E&O Yeonzon Yeow pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat yang ke-92. NSTP/Khairul Azhar Ahmad.
Pengarah Urusan, Eastern & Oriental Bhd (E&O), Kok Tuck Cheong (tengah) bersama Pengarah Kewangan E&O, Kok Meng Chow (kiri) dan Pengurus Besar Kanan, Pelaburan Korporat E&O Yeonzon Yeow pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat yang ke-92. NSTP/Khairul Azhar Ahmad.

E&O sasar jualan RM300 juta unit siap dibina

KUALA LUMPUR: Eastern & Oriental Bhd (E&O) menyasarkan jualan RM300 juta bagi unit siap dibina pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020 untuk menjana keuntungan dan mengurangkan lagi inventori belum terjual kumpulan.

Pengarah Urusannya, Kok Tuck Cheong, berkata usaha kumpulan untuk mengurangkan inventori itu sangat menggalakkan kerana ketika ini ia berjumlah hanya RM215 juta (RM416 juta dalam nilai pasaran), berbanding RM537 juta yang direkodkan pada September 2016.

“E&O menyasarkan untuk mengurangkannya lagi kepada RM58.36 juta pada tahun kewangan 2020. Sejak tiga tahun lalu, kami telah memberi tumpuan kepada penjualan unit siap dibina dan tidak ada perancangan pelancaran projek baharu.

“Penjualan unit sedia ada itu disasarkan untuk projek pembangunan Seri Tanjung Pinang (STP) di Pulau Pinang.

“Manakala, pelancaran hartanah baharu kumpulan iaitu The Peak dan The Conlay akan memacu jualan belum dibilkan kami berdasarkan strategi tiga tahun kumpulan tidak akan melancarkan projek hartanah baharu tetapi memfokuskan kepada inventori sedia ada," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) E&O di sini, hari ini.

Tuck Cheong berkata, sehingga 31 Mac 2019, jualan belum dibilkan E&O berjumlah RM61.3 juta, yang mana 94 peratus adalah projek di Pulau Pinang manakala bakinya bagi projek hartanah di Lembah Klang.

Beliau berkata, dua projek hartanahnya pula akan dilancarkan pada suku keempat 2019 dan suku pertama 2020 iaitu The Conlay membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM896 juta dan The Peak dengan GDV RM280 juta.

Katanya, bagi segmen hospitaliti pula, Hotel Eastern & Oriental Pulau Pinang mencatatkan kadar penghunian lebih 80 peratus manakala Eastern & Oriental Residences Kuala Lumpur pula sekitar 70 peratus.

Bagi tahun kewangan 2019 berakhir pada 31 Mac lalu, E&O mencatatkan pendapatan sebanyak RM886.32 juta berbanding RM982.71 juta pada tahun kewangan 2018 manakala keuntungan selepas cukai sebanyak RM76.36 juta berbanding RM109.82 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Tuck Cheong berkata, penurunan pendapatan kumpulan itu khususnya disebabkan segmen hartanahnya merekodkan keuntungan rendah sekitar RM798.93 juta dan segmen hospitaliti sebanyak RM84.35 juta.

Berita Harian X