Rabu, 28 Ogos 2019 | 8:18am

Untung bersih Q2 UMW susut 32%

KUALA LUMPUR: UMW Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih RM84.19 juta pada suku kewangan kedua (Q2) berakhir 30 Jun 2019, mewakili penyusutan 32 peratus berbanding RM124.38 juta suku sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan pada suku dikaji menokok dua peratus kepada RM2.97 bilion daripada RM2.92 bilion, disebabkan peningkatan jualan dalam segmen automotif, pembuatan dan kejuruteraan.

Sementara itu, keuntungan yang lebih rendah pada suku dikaji adalah disebabkan oleh pembalikan peruntukan sebanyak RM207 juta, yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

"Tidak termasuk dalam pembalikan peruntukan, keuntungan suku semasa sebanyak RM179.1 juta ini adalah lebih tinggi daripada keuntungan RM110.7 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia.

Segmen automotif mencatatkan hasil sebanyak RM2.38 bilion, hampir sama angka Q2 2018.

Segmen pembuatan dan kejuruteraan juga mencatat keuntungan yang lebih tinggi tahun ke tahun, disumbangkan peningkatan dalam penghantaran bingkai kipas oleh perniagaan aeroangkasa dan jualan produk utama yang lebih tinggi.

Bagi separuh pertama tahun kewangannya, keuntungan bersih kumpulan itu berjumlah RM170.69 juta, 14 peratus lebih rendah daripada RM198.46 juta tempoh sama tahun sebelumnya, diraih daripada pendapatan terkumpul yang meningkat lapan peratus kepada RM5.74 bilion daripada RM5.33 bilion.

Berita Harian X