Selasa, 27 Ogos 2019 | 6:30pm
Mustamir (dua dari kanan) ketika mengumumkan keputusan kewangan Sime Darby bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019, di Menara Sime Darby, Petaling Jaya. - NSTP/Amirudin Sahib

Sime Darby catat untung tinggi RM948 juta

PETALING JAYA: Sime Darby Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM948 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019, meningkat 53.4 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Ia disokong prestasi mantap Bahagian Perindustrian berikutan pemulihan dalam sektor perlombongan dan pembinaan di Australia dan pembinaan khususnya di China.

Pendapatannya dalam tempoh dikaji berjumlah RM36.2 bilion, meningkat 6.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, sementara untung sebelum faedah dan cukai (PBIT) meningkat 28.8 peratus kepada RM1.38 bilion.

Tidak termasuk peningkatan sekali saja, rosot nilai dan peruntukan, PBIT teras kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019 meningkat 22.1 peratus kepada RM1.5 bilion, sementara untung bersih teras meningkat 13.8 peratus kepada RM950 juta.

Keputusan kukuh itu membolehkan Sime Darby mengumumkan dividen interim kedua tujuh sen sesaham dan dividen khas satu sen, sekali gus menjadikan jumlah dividen bagi keseluruhan tahun kewangan 2019 ialah 10 sen sesaham selepas mengambil kira dividen interim dua sen yang diumumkan sebelum ini.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sime Darby, Mustamir Mohamad, berkata keputusan positif dalam pasaran utama bagi Bahagian Perindustrian membantu mengimbangi persekitaran mencabar yang dihadapi Bahagian Motor.

“Operasi perindustrian kami di Australia dan China mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan 2019 dan prospek bahagian ini dijangka kekal positif.

"Bahagian Motor berdepan persaingan sengit dalam pasaran utama. Namun, dengan model baharu dalam segmen premium akan memacu pertumbuhan meskipun berdepan persekitaran pasaran mencabar," katanya ketika mengumumkan keputusan kewangan Sime Darby bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019.

Bahagian Perindustrian Sime Darby mencatatkan peningkatan 30.4 peratus dalam PBIT kepada RM798 juta, sementara Bahagian Motor mencatatkan PBIT meningkat 15.7 peratus kepada RM628 juta bagi tahun kewangan 2019.

Bahagian Logistik mencatatkan PBIT lebih rendah kepada RM2 juta berbanding RM74 juta tahun sebelumnya, sementara Ramsay Sime Darby Health Care pula mencatatkan untung sebanyak RM49 juta.

Mengenai perbelanjaan modal bagi tahun kewangan 2020, Mustamir berkata, Sime Darby memperuntukkan lebih RM1 bilion bagi tujuan itu.Beliau berkata, pengambilalihan Gough Group Ltd yang berpangkalan di New Zealand dijangka selesai September ini dan dijangka menyumbang kira-kira RM1 bilion kepada pendapatan kumpulan setiap tahun.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan bahawa Sime Darby membida untuk mengambil alih rangkaian hospital kumpulan Columbia Asia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson mengakui pihaknya berminat dan sudah mengemukakan tawaran.

Beliau berkata, pihaknya melihat perniagaan Colombia Asia menepati perniagaan penjagaan kesihatannya.

Semasa ditanya laporan yang mengatakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Bhd (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad akan meninggalkan jawatannya untuk menyertai Sime Darby sebagai Pengerusi, Jeffri berkata beliau tidak mengetahuinya kerana ia perkara membabitkan pemegang saham.

Berita Harian X