Selasa, 27 Ogos 2019 | 5:22pm
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Berhad Najmi Mohamed (duduk kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Berhad Mukesh Dhawan (duduk kanan) menandatangani Memorandum Kerjasama Strategik antara PMB Investment Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad hari ini. - Foto BERNAMA
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Berhad Najmi Mohamed (duduk kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Berhad Mukesh Dhawan (duduk kanan) menandatangani Memorandum Kerjasama Strategik antara PMB Investment Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad hari ini. - Foto BERNAMA

PMB Investment sasar AUM cecah RM2 bilion

KUALA LUMPUR: PMB Investment Bhd (PMB Investment), anak syarikat Pelaburan MARA Bhd (Pelaburan Mara) mengunjurkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) akan mencecah RM2 bilion menjelang 2020.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata ketika ini AUM PMB Investment adalah RM1.3 bilion dan diyakini meningkat RM200 juta lagi sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, prestasi positif itu akan dipacu oleh pelaksanaan PMB Investment dalam memantapkan lagi pulangan kepada 15 dana unit amanah sedia adanya.

“Tumpuan kami kini adalah memantapkan pulangan kepada 15 unit amanah , penambahan dari segi unit dan menumpukan kepada pelaburan berprestasi tinggi.

“Ketika ini, kumpulan masih tiada perancangan untuk dana unit amanah baharu, hanya tumpukan kepada dana sedia ada bagi meningkatkan lagi AUM sedia ada.

“Jika AUM dapat dipertingkatkan dan mencapai sasaran, PMB Investment berupaya untuk memberikan pulangan yang lebih tinggi kepada pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian kerjasama strategik dua hala dengan Zurich Takaful Malaysia Bhd (Zurich Takaful) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed, mewakili Pelaburan Mara manakala Zurich Takaful diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mukesh Dhawan.

Ia disaksikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli berkata, kesedaran mengenai pelaburan dikalangan pengguna juga semakin meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini yang mencatatkan peningkatan positif.

Beliau berkata, PMB Investment mencatatkan sebanyak 120,000 pelabur dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 150,000 pada akhir tahun ini.

“Program kesedaran secara berterusan mengenai kepentingan pelaburan menunjukkan hasil dengan peningkatan jumlah pelabur kami walaupun kadar penembusan untuk segmen takaful masih rendah.

“Lantaran itu, penting bagi kumpulan memantapkan lagi pelaburan dan meningkatkan AUM agar dapat memberikan pulangan yang tinggi kepada pelabur, sekali gus menjadikan pelaburan mereka itu kekal berdaya saing,” katanya.

Kerjasama yang dijalankan itu akan membolehkan perunding unit amanah (PUA) PMB Investment dan ejen Zurich Takaful memasarkan kedua-dua produk kepada pelanggan melalui penjualan bersilang.

Berita Harian X