Selasa, 27 Ogos 2019 | 4:41pm
Huawei melancarkan siri telefon pintar Nova terbaharu untuk pasaran Malaysia dan global, Nova 5T pada harga RM1,599 seunit.. - NSTP/Mustaffa Kamal

Huawei lancar Nova 5T pada harga RM1,599

KUALA LUMPUR: Huawei melancarkan siri telefon pintar Nova terbaharu untuk pasaran Malaysia dan global, Nova 5T pada harga RM1,599 seunit.

Nova 5T didatangkan dengan lima kamera kecerdasan buatan (AI) - empat kamera di bahagian belakang dan satu kamera swafoto di bahagian depan pada saiz 32 megapiksel (MP).

Empat kamera di bahagian belakang peranti itu terdiri daripada kamera utama dengan saiz 48 MP; kamera ultra luas (16 MP); kamera makro (dua MP) dan kamera 'depth' pada saiz dua MP.

Nova 5T turut menampilkan ciri AIS Super Night Mode yang membolehkan gambar dirakam dalam keadaan kehadiran cahaya yang amat rendah, bagi memastikan momen yang dirakam berada dalam keadaan terbaik.

Huawei Nova 5T dilengkapi dengan set cip bersaiz tujuh nano meter (7nm) pertama di dunia, menggunakan set chip terunggul Huawei sendiri iaitu Kirin 980.

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Negara, Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei Malaysia, Matthew Ng.

Dari segi prestasi, peranti itu dikuasakan dengan 8 gigabait (GB) RAM dan 128 GB kapasiti ruang simpanan.

Ia juga menampilkan skrin berkeluasan penuh para saiz 6.26 inci dengan bateri berkuasa 3,750 mAH yang didatangkan dengan teknologi Super Charge 22.5W yang membolehkannya dicas sehingga 50 peratus dalam tempoh 30 minit.

Huawei Nova 5T kini dibuka untuk pra-tempahan bermula 29 Ogos di kedai dalam talian Huawei.

Pengguna yang membuat pra-tempahan dari 29 Ogos sehingga 5 September ini akan menerima hadiah eksklusif bernilai hampir RM325 iaitu speaker mini Huawei dan pengecas kereta SuperCharge Huawei.

Selain itu, pengguna juga akan ditawarkan lanjutan jaminan selama setahun jika membeli peranti itu dari 29 Ogos sehingga 31 September ini.

Huawei Nova 5T akan mula dijual di seluruh negara bermula 7 September ini di kedai Huawei.

Pada majlis sama, Huawei turut melancarkan tablet terbaharunya iaitu MediaPad M5 Lite bersaiz 10.1 inci yang dijual pada harga RM1,299 seunit.

Berita Harian X