Jumaat, 23 Ogos 2019 | 7:00pm

Pharmaniaga catat keuntungan memberangsangkan

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) mencatatkan keuntungan selepas cukai RM9 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2019, meningkat berbanding RM6 juta yang diraih pada suku sama tahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukainya melonjak kepada RM12 juta.

Prestasi memberangsangkan itu dicapai berasaskan peningkatan perolehan RM602 juta pada suku dikaji.

Secara terkumpul, untuk tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2019, Pharmaniaga mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi berjumlah RM29 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM43 juta.

Pendapatan yang diraihnya bagi tempoh enam bulan meningkat kepada RM1.4 bilion.

Bahagian logistik dan pengedaran mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM19 juta untuk tempoh enam bulan, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding RM9 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Walaupun dengan kos operasi lebih tinggi, prestasi lebih baik Pharmaniaga itu dicatatkan berbekalkan sumbangan lebih besar daripada perniagaan bukan konsesi.

Bahagian pengilangannya pula mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM28 juta, sedikit rendah berbanding RM34 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu, terutama disebabkan sumbangan lebih rendah daripada perniagaan konsesi.

Sejajar dengan komitmen kumpulan untuk menambah nilai kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah Pharmaniaga mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 2.5 sen sesaham, menjadikan dividen kumulatif berjumlah 8.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran, berkata prestasi kukuh syarikat itu dipacu oleh sumbangan mantap daripada perniagaan konsesi dan bukan konsesi.

Kumpulan juga, katanya mendapat manfaat daripada perbelanjaan cukai korporat lebih rendah, lantas mengimbangi kesan penyusutan margin sumbangan dan peningkatan kos pembiayaan.

“Dalam jangka panjang, kami yakin bahawa prospek bagi industri penjagaan kesihatan adalah positif.

“Kumpulan bersedia memanfaatkan peluang pertumbuhan sambil kami memperluas portfolio produk kami untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang sentiasa berubah menerusi usaha penyelidikan dan pembangunan.

“Inisiatif pemasaran strategik yang dilaksanakanakan membolehkan kumpulan mengukuhkan lagi kedudukan dalam sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan.

Farshila berkata, Pharmaniaga juga akan terus melebarkan sayap globalnya terutama di Indonesia yang masih menjadi pasaran pertumbuhan pentingnya.

Berita Harian X