Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:30am

Untung bersih Paramount susut 33%

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Paramount Corporation Bhd yang terbabit dalam pembangunan hartanah dan perkhidmatan pendidikan, susut 33 peratus kepada RM28.46 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2019 (Q2) berbanding RM42.30 juta suku sama tahun lalu.

Menurut kumpulan itu, berikutan ketiadaan pulangan daripada penjualan tanah perindustrian seluas 3.8 hektar di Kota Damansara yang menyumbang RM43.2 juta pada Q2 tahun lalu, keuntungan pada Q2 2019 sepatutnya menunjukkan peningkatan.

Perolehan bagi suku itu menokok tiga peratus kepada RM287.43 juta daripada RM278.37 juta, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Keuntungan bersih terkumpul bagi tempoh enam bulan turut berkurangan kepada RM34.63 juta berbanding RM49.26 juta sebelum ini manakala perolehan sebanyak RM478.88 juta berbanding RM440.61 juta, sebelum ini.

Kumpulan itu mencatat jualan hartanah RM310 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini manakala jualan belum direkodkan mencecah angka tertinggi sebanyak RM978 juta setakat 30 Jun 2019.

“Ini dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan pada masa depan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew, berkata pihaknya turut mengunjurkan sektor hartanah akan kekal perlahan.

“Bagaimanapun, kadar pinjaman yang rendah susulan langkah Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman pada Mei 2019 dan tindakan kerajaan melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah dijangka meningkatkan sentimen pengguna dari segi pembelian hartanah,” katanya.

Menurutnya, Paramount Property akan melancarkan enam projek pada separuh kedua 2019 termasuk fasa baharu projek sedia ada.

Kedudukannya di wilayah tengah akan diperluas ke Klang menerusi Berkeley Uptown, sebuah projek pembangunan bersepadu pendidikan-hartanah seluas 13.5 hektar yang akan diterajui oleh Sekolah Antarabangsa Sri KDU yang baharu.

Ia akan turut melancarkan pembangunan baharu di Cyberjaya - Sejati Lakeside terletak berhampiran Sejati Residences yang meraih pelbagai anugerah.

"Kami juga telah melancarkan Fasa 1 Kemuning Idaman yang merangkumi kawasan seluas lebih tujuh ekar dan meliputi dua menara dengan 650 rumah mampu milik di bandar sedia ada di Kemuning Utama, Shah Alam. Ini bertujuan menyokong inisiatif Rumah Selangorku oleh kerajaan Selangor yang bertujuan merapatkan jurang kemampuan selain membantu rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri.

"Di wilayah utara, kami akan melancarkan fasa ketiga pangsapuri Utropolis Batu Kawan, didorong oleh jualan kukuh dicatatkan setakat ini. Pembukaan Kolej Universiti KDU Penang di Utropolis Batu Kawan pada September 2019 dijangka menjadi pengubah kerana menjadi universiti metropolis pertama di Pulau Pinang.

“Tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka, kumpulan juga diunjur merekodkan prestasi kewangan yang lebih baik untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X