Rabu, 21 Ogos 2019 | 5:03pm
NAIB Presiden Kanan Pemasaran dan Perniagaan Alternatif Etika, Santharuban T. Sundaram (kiri) pada pelancaran kerjasama antara Etika dan Shopee Malaysia (Shopee). - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

WONDA 3 dalam 1 dijangka laris

KUALA LUMPUR: Pengedar pelbagai jenama minuman terkemuka di negara ini, Etika Sdn Bhd (Etika) menyasarkan pertumbuhan 10 peratus bagi segmen minuman kopi premium pracampur pertamanya, WONDA 3 dalam 1.

Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Perniagaan Alternatif Etika, Santharuban T. Sundaram berkata pertumbuhan disasarkan dalam tempoh setahun selepas pelancaran produk kopi pracampur itu.

Beliau berkata, Etika menetapkan jangkaan yang besar untuk produk berkenaan apabila ia mula diedarkan dalam pasaran.

“Kami sudah mempunyai peminat kopi WONDA yang sedia diminum dan kali ini, kami memberi peluang kepada penggemar kopi untuk membancuh sendiri kopi WONDA dan menikmatinya semasa masih panas.

“Dengan pertumbuhan positif yang kami catatkan dalam segmen kopi sedia diminum, ia memberikan keyakinan kepada kami untuk mengembangkan jenama kopi WONDA ke dalam segmen kopi serbuk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran kerjasama antara Etika dan Shopee Malaysia (Shopee).

Menerusi kerjasama itu, Shopee dilantik sebagai rakan pemasar dalam talian eksklusif bagi kedai rasmi kopi WONDA.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengurus Kategori Shopee, Tan Ming Kit.

Mengulas lanjut, Santharuban berkata Etika turut merancang untuk melancarkan lebih banyak produk yang menarik pada masa hadapan khusus untuk penggemar minuman berkenaan.

“Kami yakin produk baharu ini akan mendapat sambutan baik kerana ia memberikan rasa seperti baru dibru,” katanya.

Sempena pelancaran kedai rasmi kopi Wonda di platform Shopee, bermula hari ini hingga Sabtu, 300 pembeli pertama berpeluang menikmati potongan RM5 daripada pembeli kopi pracampur WONDA 3 dalam 1 itu.

Berita Harian X