Selasa, 13 Ogos 2019 | 12:31pm
Pengerusi, Jawatankuasa Halal, Nestle (Malaysia) Berhad, Othman Md Yusoff bersama produk yang dikeluarkan oleh Nestle.NSTP/Khairul Azhar Ahmad.

Nestle komited bantu Malaysia jadi hab halal global

PETALING JAYA: Nestle Malaysia komited untuk membantu Malaysia menjadi hab halal global, yang menyaksikan negara kini berada dalam landasan tepat untuk mencapainya.

Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle dan Ketua Bahagian Halal Nestle Malaysia, Othman Md Yusoff, berkata komitmen itu seiring dengan usaha Nestle yang menjadi antara pelopor memperkenalkan pensijilan halal di Malaysia pada awal 1990-an.

Katanya, beliau sendiri terbabit dalam perbincangan dengan Pusat Islam yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 1993 untuk mewujudkan pensijilan halal.

"Pada 1994, akhirnya buat kali pertama Malaysia mempunyai pensijilan halal yang rasmi untuk industri yang mengeluarkan produk siap.

"Nestle Malaysia ketika itu memainkan peranan penting dalam kewujudan sijil halal di Malaysia dan saya juga diberi kepercayaan oleh syarikat untuk merangka garis panduan halal untuk Nestle sendiri.

"Sehingga kini, garis panduan ini telah menjadi standard utama yang diguna pakai oleh mana-mana cawangan Nestle di seluruh dunia untuk perkara membabitkan halal," katanya kepada BH di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Othman berkata, Malaysia mampu melonjakkan nilai eksport produk halalnya ke tahap lebih tinggi berbanding sekarang jika berupaya menghasilkan lebih banyak sumber halal di dalam negara.

Katanya, nilai eksport produk halal negara sememangnya sudah menunjukkan peningkatan setiap tahun apabila meningkat dari RM8 bilion beberapa tahun lalu kepada RM40 bilion tahun lalu.

“(Boleh) nampak pertumbuhan itu naik secara mendadak setiap tahun dan bagi saya, jika kita mempunyai teknologi dan mampu menghasilkan ramuan halal sendiri di dalam negara, lonjakan itu akan mampu meningkat lebih daripada itu (RM40 bilion).

“Ia tidak akan melonjak ke RM50 bilion, tetapi kepada RM100 bilion. Ini kerana apabila kita menghasilkan ramuan sendiri, ia akan diguna pakai di seluruh dunia.

“Saya berpendapat Malaysia berpotensi tinggi dengan kompetensi yang ada pada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan halal lain untuk negara bukan saja meningkatkan nilai produk eksport halalnya, tetapi menjadi hab halal global,” katanya.

Berita Harian X