Selasa, 13 Ogos 2019 | 12:30pm
Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia, Singapura & Brunei, Etika Holdings, Khalid Alvi. NSTP/Khairul Azhar Ahmad.
Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia, Singapura & Brunei, Etika Holdings, Khalid Alvi. NSTP/Khairul Azhar Ahmad.

Etika rancang perluas tawaran produk

KUALA LUMPUR: Pengilang botol rasmi PepsiCo di Malaysia, Etika Group of Companies (Etika) merancang memperluaskan lagi penawaran produk daripada jenama sedia ada dan menjadikannya lebih menarik kepada pengguna.

Anak syarikat milik penuh Asahi Group Holdings Ltd dari Jepun mengedar dan memasarkan beberapa jenama lain PepsiCo seperti Pepsi, Sting, Evervess, Revive Isotonic, 7UP, Tropicana, Mirinda, Lipton Ice Tea, Mountain Dew, Gatorade dan MUG.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia, Singapura dan Brunei Etika, Khalid Alvi, berkata adalah sukar untuk membuat keputusan mengenai keperluan membawa masuk jenama baharu ke Malaysia kerana syarikat itu sudah mempunyai rangkaian jenama yang banyak.

“Sebagai contoh, kami mempunyai produk tenusu di bawah jenama Goodday. Mengapa tidak kami menjadi pakar tenusu di bawah jenama Goodday dengan menawarkan penyelesaian kepada semua lapisan pengguna dari kanak-kanak, remaja hingga kepada orang dewasa,” katanya dalam satu temubual bersama BH baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, Etika merancang untuk melancarkan pelbagai minuman baharu dalam tempoh tiga tahun ini dalam usaha untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran minuman tempatan.

Bagaimanapun, katanya maklumat lebih lanjut mengenai perkara itu buat masa ini tidak boleh didedahkan lagi kerana tidak mahu diketahui oleh pesaingnya.

“Saya tidak boleh mendedahkan maklumat ini kepada anda kerana kami mahu menjadi yang pertama mengeluarkan minuman baharu dalam kategori ini.

Malah kami tidak mahu pesaing mengetahui yang kumpulan sedang dalam proses ke arah itu,” katanya

Ditanya mengenai pelaksanaan cukai minuman bergula bermula 1 Julai lalu, Khalid berkata, syarikat mempunyai portfolio yang seimbang di antara produk yang tertakluk dan tidak dengan cukai baharu itu.

Katanya, Etika amat menyedari pelaksanaan cukai berkenaan dan bekerja rapat dengan kerajaan untuk memahami mengenainya.

“Kami menyokong kerajaan sepenuhnya dalam perkara ini untuk menjadikan Malaysia lebih sihat dengan mengawal kadar pengambilan gula. Bagi produk yang dikenakan cukai, harganya akan dinaikkan,” katanya.

Berita Harian X