Jumaat, 9 Ogos 2019 | 3:08pm

Uber rugi RM21.8 bilion, saham susut enam peratus

SAN FRANCISCO/BENGALURU: Uber Technologies Inc mencatatkan kerugian AS$5.2 bilion (RM21.8 bilion), manakala pendapatannya juga susut berbanding jangkaan Wall Street berikutan pertumbuhan perniagaan perkhidmatan e-hailing yang perlahan, menyebabkan sahamnya turun enam peratus.

Syarikat itu berkata, perang harga di Amerika Syarikat (AS) semakin reda dan ia menjadi kayu pengukur kepada keuntungan syarikat, namun pertumbuhan perlahan dalam pendapatan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Uber untuk berkembang dan terus bersaing.

“Kerugian semakin meluas dan persaingan semakin hebat,” kata Haris Anwar, penganalisis di platform pasaran kewangan Investing.com.

“Apa yang mengurangkan keyakinan pelabur dan memberi kesan kepada saham selepas laporan ini adalah panduan yang jelas mengenai pertumbuhan pendapatan dan mengurangkan kos,” katanya.

Kerugian bersih suku kedua Uber terus meningkat daripada AS$878 juta tahun sebelum ini, termasuk AS$3.9 bilion perbelanjaan pampasan berasaskan saham yang berkaitan dengan tawaran awam permulaan (IPO) pada awal tahun ini dan hampir AS$300 juta penghargaan kepada pemandu yang berkaitan dengan penjualan saham.

Laporan itu memberi kesan kepada pelabur kerana pesaing Uber, Lyft Inc pada Rabu meningkatkan unjuran pendapatannya dan menjelaskan penurunan harga.

Saham Uber meningkat lapan peratus dan Lyft menokok tiga peratus pada hari berkenaan.

Berikutan laporan kewangan Uber itu, sahamnya jatuh enam peratus dan Lyft susut hampir dua peratus.

Uber melaporkan pertumbuhan pendapatannya perlahan kepada 14 peratus kepada AS$3.2 bilion, menurut data IBES daripada Refinitiv.

Perniagaan teras syarikat, e-hailing, meningkat hanya dua peratus kepada AS$2.3 bilion.

Cabang perniagaan penghantaran makanan, Uber Eats meningkat 72 peratus kepada AS$595 juta.

Jumlah penumpang yang membelanjakan untuk perjalanan naik 20 peratus manakala jumlah simpanan Uber selepas membayar pemandunya meningkat hanya empat peratus.

Mengulas mengenai prestasi itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dara Khosrowshahi berkata persekitaran yang kompetitif telah mula rasional dan bertambah baik sejak suku pertama tahun ini.

-Reuters

Berita Harian X