Rabu, 7 Ogos 2019 | 5:39pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Eddy Azly Abidin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Rafe Haneef pada pelancaran kerjasama strategik antara kedua-dua pihak di Kuala Lumpur. Foto BERNAMA
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Eddy Azly Abidin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Rafe Haneef pada pelancaran kerjasama strategik antara kedua-dua pihak di Kuala Lumpur. Foto BERNAMA

CIMB Islamic sasar pertumbuhan produk takaful am

KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic) menyasarkan pertumbuhan kukuh produk takaful am dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Rafe Haneef, berkata bank itu yakin dapat merekodkan pertumbuhan premium sebanyak 11 peratus tahun ke tahun atau bernilai RM168 juta melalui kerjasama dengan rakan bancatakaful, Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas).

Rafe berkata, kerjasama itu juga membolehkan pihaknya memberikan pelbagai produk takaful am dan penyelesaian kepada pelanggan segmen runcit, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan komersial.

“CIMB Islamic dan Takaful Ikhlas yakin dapat mencapai pertumbuhan yang disasarkan itu bersandarkan kepada peningkatan kukuh dalam perbankan Islam.

“Perkara ini berkait rapat antara satu sama lain, prestasi kukuh perbankan Islam sekali gus akan meningkatkan lagi prestasi kukuh takaful am kami.

“Pelanggan adalah keutamaan dan menjadi inisiatif utama kepada kumpulan, dan melalui kerjasama strategik ini, kami mampu memberikan produk takaful yang pelbagai merangkumi segmen pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran kerjasama CIMB Islamic dan Takaful Ikhlas di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Eddy Azly Abidin.

Mengulas lanjut, Rafe berkata, perbankan Islam dijangka menguasai sebanyak 40 peratus daripada industri perbankan negara pada 2020, dan pihaknya turut menyasarkan CIMB Islamic menguasai 40 peratus daripada keseluruhan perniagaan kumpulan CIMB.

Beliau berkata, memiliki rakan kerjasama yang sudah 16 tahun mempunyai rekod pencapaian terbaik adalah perkara penting dalam memastikan hanya produk takaful berkualiti ditawarkan kepada pelanggan CIMB Islamic.

Selain di rangkaian cawangan CIMB Islamic, untuk pertama kalinya pelanggan boleh membeli produk takaful ini melalui platform CIMB Clicks menjelang akhir 2019.

Sementara itu, Eddy berkata, melalui kerjasama itu, Takaful Ikhlas menyasarkan 13 produk takaful am akan diperkenalkan dalam jangka masa terdekat.

Beliau berkata, industri takaful am dijangka berkembang sebanyak tujuh peratus pada tahun ini, justeru kerjasama terbabit dijangka dapat memangkin perniagaan baru dan menyumbang kepada pertumbuhan kedua pihak.

“Kerjasama ini akan membolehkan kami berkongsi komitmen dan sasaran dalam memacu pertumbuhan takaful am.

“Kami juga akan meningkatkan inisiatif inovasi digitalisasi dalam mempromosikan produk atas talian kami termasuk takaful permotoran, perjalanan dan haji,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X