Rabu, 7 Ogos 2019 | 4:29pm
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze berucap sempena sambutan Tahun Baru Cina di Rumah Orang Tua Jabor, Memorial Park, Jabor, Kuantan Februari lalu. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze berucap sempena sambutan Tahun Baru Cina di Rumah Orang Tua Jabor, Memorial Park, Jabor, Kuantan Februari lalu. - Foto Muhd Asyraf Sawal

'Lynas tidak simpan apa-apa rahsia'

KALGOORLIE, AUSTRALIA: Lynas Corp, pengeluar nadir bumi terbesar di luar China yakin kerajaan Malaysia akan memperbaharui lesen operasinya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze dalam satu temubual.

“Kami terbabit dalam rundingan ini dengan penuh keyakinan, kerana kami tidak menyembunyikan sebarang rahsia yang buruk,” kata Lacaze dalam temubual selepas forum industri perlombongan di sini.

Beliau berkata, syarikat itu melihat kerajaan Malaysia sedang fokus untuk meneruskan pembangunan negara dengan industri berteknologi tinggi.

“Kerajaan juga mengambil berat terhadap pembangunan ekonomi dan berdasarkan cara pengurusan yang sudah diterapkan dalam operasi kami, mereka tidak perlu berbuat sebarang timbang tara dagangan alam sekitar kerana kami beroperasi secara selamat dan lestari,” kata Lacaze.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan membenarkan Lynas untuk meneruskan operasi bagi kemudahan pengeluarannya di negara itu dan mengadakan rundingan dengan syarikat itu untuk menetapkan pilihan melupuskan bahan buangannya.

Lynas berkata, pihaknya akan terus mengadakan pertemuan dengan kerajaan Malaysia dan menjangkakan keputusan memperbaharui lesen operasinya itu dimuktamadkan menjelang pertengahan bulan ini.

“Lesen operasi penuh syarikat itu akan berakhir pada 3 September ini,” katanya

-Bloomberg

Berita Harian X