Selasa, 6 Ogos 2019 | 8:55pm

F&N catat peningkatan keuntungan bersih

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2019 meningkat kepada RM114.94 juta daripada RM104.50 juta yang dicatatkan pada suku sama 2018.

Perolehan melonjak 10.9 peratus kepada RM1.07 bilion daripada RM961.89 juta bagi tempoh yang sama dengan segmen makanan dan minuman (F&B) dari Thailand dan Malaysia merekodkan sumbangan lebih tinggi.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, F&N berkata keseluruhan pasaran domestik bagi F&B Malaysia dijangka kekal mencabar memandangkan persaingan sengit khususnya dalam segmen susu tin.

“Bagi minuman, pihak pengurusan telah mengambil langkah perlu, termasuk memperkenalkan portfolio besar-besaran bagi pilihan lebih sihat, untuk mengurangkan kesan pengenaan duti ke atas minuman bergula berkuat kuasa 1 Julai 2019.

“Pengurusan juga sentiasa memantau penerimaan dan pembelian pasaran serta meneruskan usaha kami bagi memperkenalkan produk inovatif yang akan memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

F&N berkata di samping itu F&B Thailand memiliki prospek lebih baik susulan peningkatan dalam segmen susu pekat manis dan susu sejat.

Pelaburan dalam pembangunan jenama akan diteruskan untuk memperkukuh portfolio produk melalui peningkatan pelaburan pengiklanan dan promosi secara ketara pada suku terakhir tahun kewangan ini, menurut F&N.

Bagi eksport, F&N berkata pembelian oleh pelanggan utama yang berkurangan dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah telah menjejaskan jualan di pasaran tertentu.

“Pengukuhan mata wang baht juga mengurangkan daya saing eksport kami dari Thailand. Walaupun berdepan cabaran, kami akan terus giat membina teras eksport kami dengan meningkatkan dan memperkukuh kedudukan kami di pasaran baharu dan sedia ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, syarikat itu berkata harga bahan mentah dan bahan pembungkusan dijangka kekal tidak menentu, justeru itu pihaknya melindung nilai kebanyakan keperluan komoditi teras dan pendedahan mata wang asing yang sama sebaik mungkin bagi baki tempoh suku tahun kewangan semasa.

Melangkah ke hadapan bagi tahun kewangan akan datang, F&N berkata harga input tenusu yang telah meningkat akan dipantau secara teliti dan langkah perlu akan dilaksanakan bertujuan mengurangkan sebarang kesan negatif.

Syarikat terus mengutamakan usaha pengukuhan strategi komersial, kaedah dan perancangan jualan produk, mempercepatkan inovasi serta meningkatkan kecekapan operasi di seluruh perniagaan untuk menjana keuntungan serta pertumbuhan mampan, katanya.

Memandangkan persekitaran luaran tidak menentu, F&N akan terus mengambil pendekatan berhati-hati dan pada masa sama meneroka peluang pertumbuhan baharu yang mungkin wujud.

– BERNAMA

Berita Harian X