Jumaat, 2 Ogos 2019 | 5:40pm

Nilai yen tinggi jejas keuntungan Honda

TOKYO: Keuntungan operasi pengeluar kenderaan Jepun, Honda Motor Co susut 16 peratus pada suku pertama, berikutan yen yang lebih tinggi memberi kesan kepada pendapatan luar negara dan kejatuhan jualan kenderaan Amerika Syarikat (AS).

Pembuat kenderaan nombor tiga Jepun itu mencatatkan pendapatan operasi sebanyak 252.4 billion yen (RM9.81 bilion) bagi tempoh April-Jun berbanding 299.3 bilion yen (RM11.63 bilion) tempoh sama tahun lalu.

Jualan syarikat AS jatuh kepada 407,000 kenderaan dalam tempoh tiga bulan, daripada 425,000 kenderaan tahun sebelumnya.

Ia menurunkan unjurannya bagi jualan global pada tahun ini hingga Mac 2020 kepada 5.11 juta kenderaan, berbanding unjuran sebelum ini sebanyak 5.16 juta dan rekod jualan 5.323 juta unit tahun lalu.

Bagaimanapun, Honda optimis mencatatkan peningkatan keuntungan operasi sebanyak 6.0 peratus kepada 770 bilion yen tahun ini.

Honda, seperti pembuat kereta lain, bergelut untuk membina semula jenamanya di tengah-tengah persaingan yang semakin meningkat daripada firma teknologi seperti Alphabet dan Uber.

Ia susulan industri automotif bergerak ke arah kenderaan bercirikan autonomi, elektrik dan perkongsian.

Pada Mei, Honda memberi isyarat ia berhasrat untuk mengurangkan kos pengeluaran global sebanyak 10 peratus menjelang 2025 dan mengurangkan variasi model serantau, dengan menyalurkan penjimatan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan.

Syarikat itu juga meluaskan kerjasama dengan menyertai projek mobiliti oleh SoftBank Group Corp dan Toyota Motor Corp dan melabur dalam unit kenderaan memandu sendiri, Cruise oleh General Motors Co.

-Reuters

Berita Harian X