Jumaat, 2 Ogos 2019 | 3:35pm
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Joseph Gross (kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Jualan Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Raymond Cheah (dua kanan) dan Pemangku Ketua Pegawai Produk Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Ooi Haw Yun (kanan) semasa The Pelancaran Allianz Medisafe Infinte + dan Mediadvantage di Colony Kl Sentral. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Allianz perkenal perlindungan kesihatan baharu

KUALA LUMPUR: Allianz Malaysia Bhd melancarkan produk terbaharunya, MediSafe Infinite+ dan MediAdvantage untuk perlindungan kesihatan yang lebih baik di dalam dan luar negara.

Kedua-dua produk berkenaan adalah perlindungan tambahan kepada perlindungan berfokuskan Pelan Berkaitan Pelaburan, Allianz PowerLink.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Bhd, Joseph Gross berkata secara asasnya, produk MediSafe Infinite+ akan memberi pelanggan akses kepada rawatan kesihatan di luar negara.

“Allianz PowerLink adalah satu daripada produk kekal yang kami tawarkan dan kami ingin menawarkan rakyat Malaysia pilihan untuk penjagaan kesihatan yang lebih baik.

“Dengan memperkenalkan dua perlindungan tambahan ini, rakyat Malaysia berupaya mendapatkan perlindungan kesihatan yang lebih fleksibel yang sesuai dengan keperluan mereka di dalam atau luar negara.

“Dalam soal kesihatan, jika seseorang pemegang insurans memiliki fleksibiliti untuk membuat pilihan rawatan, ia boleh membezakan kami dengan penanggung insurans yang lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Allianz Life Insurance Malaysia Bhd adalah anak syarikat insurans hayat Allianz Malaysia.

MediSafe Infinite+ adalah perlindungan tambahan utama untuk Allianz PowerLink dan ia mempunyai kad insurans sendiri yang menawarkan perlindungan hospital dan pembedahan komprehensif.

Ia juga menawarkan perlindungan kanser yang membolehkan pelanggan mendapat akses kepada teknologi perubatan baharu dalam rawatan kanser seperti ujian genomik, terapi yang disasarkan, terapi hormon dan imunoterapi.

Mengulas lanjut, Gross berkata perlindungan tambahan itu juga menawarkan bayaran balik jika tiada tuntutan dibuat sebanyak 20 peratus daripada kos insurans.

“Pulangan berkenaan akan diberikan jika tiada tuntutan dibuat dalam tahun polisi. Selain itu, pelanggannya juga mendapat akses kepada Pendapat Perubatan Pakar Global (GEMO) serta had tahunan keseluruhan yang tinggi dan tiada had keseluruhan sepanjang hayat

“Medisafe Infinite+ juga menawarkan kemasukan sebelum kelahiran iaitu pada 14 hingga 35 minggu kehamilan,” katanya.

Berita Harian X