Rabu, 31 Julai 2019 | 12:24pm

Huawei dominasi pasaran telefon pintar

HONG KONG/SHANGHAI: - Huawei Technologies mendominasi pasaran telefon pintar domestik pada suku kedua, menyaksikan peningkatan dalam penghantaran dan perkongsian pasaran, dengan mana pelanggan di China memberikan sokongan padu kepada syarikat itu di tengah-tengah persengketaan perdagangannya dengan Amerika Syarikat (AS).

Huawei, yang disenarai hitam oleh AS sejak pertengahan Mei dan hampir dilarang menjalankan perniagaan di negara itu lebih awal lagi, membuat penghantaran 37.3 juta telefon pintar di China dalam tempoh tiga bulan berakhir Jun, naik 31 peratus tahun ke tahun, demikian menurut firma penyelidikan pasaran Canalys.

Perkongsian pasarannya naik lebih daripada 10 mata peratusan kepada 38 peratus pada suku dikaji, walaupun semua vendor utama lain berhadapan kesukaran dalam pasaran telefon pintar terbesar di dunia itu, kata Canalys.

Huawei dimasukkan Washington ke dalam Senarai Entiti Mei lalu. Senarai hitam itu mengancam untuk menghalangnya akses kepada komponen dan perisian penting AS seperti aplikasi Google Android.

Seruan supaya sokongan diberikan kepada Huawei telah secara konsisten muncul di media sosial Cina, selepas itu.

Kitty Fok, yang menjejaki sektor telefon pintar China di firma penyelidikan IDC, berkata pengguna bertindak balas terhadap tuduhan ke atas Huawei dengan sentimen pro-China, yang membantu melonjakkan daya tarikan jenama itu.

"Produk itu sendiri sudah diterima dengan baik selama ini, dan perang perdagangan membantu orang ramai berasa seperti mereka perlu memberi sokongan yang lebih lagi terhadap Huawei. Satu-satunya kebimbangan ialah mereka mungkin tidak mendapat bekalan komponen, tetapi akhirnya mereka melakukannya," kata Fok.

Penghantaran telefon pintar suku kedua Huawei melonjak walaupun penghantaran telefon pintar keseluruhan China menyusut.

Penghantaran di China merosot enam peratus pada suku dikaji kepada 97.6 juta unit, penyusutan sukuan kesembilan berturut-turut, menurut Canalys.

Oppo, Vivo, Xiaomi Corp dan Apple Inc, empat vendor teratas di belakang Huawei, menyaksikan penurunan dalam penghantaran dan penguasaan pasaran pada suku dikaji, kata Canalys.

Penghantaran suku kedua di China mewakili 64 peratus daripada jumlah pesanan telefon pintar Huawei pada suku itu, katanya.

"Jelas sekali pasaran antarabangsa adalah satu risiko sekarang, sedangkan di China, yang mana ekosistem Android paling matang, dari segi saluran jualan dan pendapatan perisian, Huawei mempunyai kelebihan yang jelas dalam rundingan harga," kata penganalisis di Canalys. - Reuters

Berita Harian X