Rabu, 31 Julai 2019 | 10:20am
Apple Inc mencatat kemerosotan ketara dalam jualan iPhone, terendah dalam tempoh tujuh tahun. - Foto fail Reuters
Apple Inc mencatat kemerosotan ketara dalam jualan iPhone, terendah dalam tempoh tujuh tahun. - Foto fail Reuters

Jualan iPhone terendah dalam 7 tahun

SAN FRANCISCO: Apple Inc mencatat kemerosotan ketara dalam jualan iPhone, terendah dalam tempoh tujuh tahun.

Di peringkat global, jualan iPhone pada suku kewangan ketiga susut 12 peratus kepada AS$25.99 bilion, selepas turun 17 peratus pada suku sebelumnya, menyamai jangkaan Wall Street.

Bagaimanapun, pendapatan segmen perkhidmatan meningkat 12.6 peratus kepada AS$11.46 bilion, sedikit tersasar daripada jangkaan tetapi mengekalkan rekod tertinggi baharu.

Apple berkata, ia menjangka pendapatan bagi suku kewangan keempat antara AS$61 bilion dan AS$64 bilion, berbanding anggaran penganalisis sebanyak AS$61.02 bilion.

Pada suku kewangan ketiga berakhir 30 Jun 2019, Apple melaporkan kenaikan pendapatan satu peratus kepada AS$53.8 bilion dan penyusutan pendapatan sesaham tujuh peratus kepada AS$2.18, berbanding jangkaan pendapatan AS$53.39 bilion dan pendapatan sesaham AS$2.10, demikian menurut data Refinitiv.

Ketegangan perdagangan Amerika Syarikat dan China memperlahankan pertumbuhan ekonomi di China, pasaran utama Apple.

Ia mengurangkan harga iPhone di China awal tahun ini selepas kadar tukaran mata wang menjadikan telefonnya terlalu mahal untuk kebanyakan pengguna China.

Penguasaan pasaran Apple di China susut kepada 5.8 peratus daripada 6.4 peratus, demiian menurut firma penyelidikan pasaran Canalys, sebahagiannya kerana saingan telefon pintar Huawei Technologies Co Ltd yang mengukuhkan penguasaan pasaran untuk muncul jenama telefon bimbit terunggul di negara itu. - Reuters

Berita Harian X