Selasa, 30 Julai 2019 | 12:00am

M+S jual ruang pejabat, runcit Duo RM4.74 bilion

KUALA LUMUR: M+S Pte Ltd (M+S), bersetuju untuk menjual anak syarikat milik penuhnya, Ophir-Rochor Commercial Pte Ltd (ORC) dan firma ekuiti hartanah swasta, Gaw Capital Partners kepada Allianz Real Estate dengan nilai S$1.575 bilion (RM4.74 bilion).

M+S Pte Ltd (M+S) adalah pemaju hartanah yang dimiliki secara bersama oleh Khazanah Nasional Bhd dan Temasek Holdings Private Ltd menerusi pegangan 60:40.

Manakala ORC pula adalah pemaju dan pemilik Duo Tower dan Duo Galleria, manakala Capitaland Ltd dan anak syarikat UEM Sunrise Bhd iaitu UEM Land Holdings adalah pengurus projeknya.

Tawaran itu diterima menerusi proses tunjuk minat yang dilaksanakan perunding hartanah JLL.

Bahagian pejabat dan peruncitan Duo adalah pembangunan bercampur yang turut membabitkan Duo Residences dan Hotel Andaz Singapore.

Ketua Pegawai Eksekutif M+S, Kemmy Tan, berkata dengan prestasi aset pejabat dan runcitnya yang di luar jangkaan, cadangan transaksi sebanyak S$1.575 bilion itu satu rekod untuk harga di kawasan ini sebagai peluang memaksimumkan pulangan kepada pemegang saham.

"Sejajar usaha kami untuk terus memiliki hotel Andaz Singapore, kami meninjau untuk bekerjasama rapat dengan Allianz Real Estate dan Gaw Capital Partners, yang memiliki rekod global memberangsangkan dalam pengurusan dan pembangunan hartanah untuk memangkin Duo sebagai tempat yang menarik kepada peniaga dan pelancong global.

"Kami terus yakin dengan peluang pertumbuhan menggalakkan untuk Andaz Singapore, terutama apabila Bugis meneruskan pelan transformasinya sebagai kawasan yang menarik untuk rekreasi dan kawasan perniagaan untuk sama-sama menyokong CBD.

“M+S akan terus memiliki dan menguruskan aset Andaz Singapore dan Marina One ke paras optimum untuk kepentingan pemegang saham," kata Tan dalam satu kenyataannya.

Pembangunan Duo berada dalam koridor Ophir-Rochor di Singapura bersebelahan Kampong Glam, yang mana ia mendapat sentuhan rekaan arkitek Ole Scheeren.

Berita Harian X